Iklan

Himpunan bantah ICERD: Yang menang, yang kalah

The Malaysian Insight6 years ago8th Dec 2018Berita
Anti icerd rally 20181208 tmiafif 08
Seorang penunjuk perasaan mengetuai perarakan ke Dataran Merdeka ketika menyertai himpunan anti-ICERD hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2018.
Iklan

PIHAK penganjur mendakwa hampir setengah juta orang menyertai himpunan anti-ICERD manakala pihak berkuasa berkata hanya 55,000 peserta sahaja yang turun. Namun berdasarkan tinjauan, jumlah itu hanya 25,000 orang sahaja.

Namun jumlahnya bukan menjadi ukuran tetapi tunjuk perasaan hari ini menunjukkan kekalahan politik pertama buat kerajaan baharu Pakatan Harapan.

PIHAK YANG MENANG
==================

* Umno dan PAS

Soal perjuangan hak dikuasai oleh kedua-dua parti Melayu ini. Umno terutamanya, yang sebelum ini tamparan hebat ekoran kekalahan pada 9 Mei lalu, hari ini menunjukkan kekuatan untuk memulihkan pandangan bahawa semua undi orang Melayu masih memihak kepada mereka.

Persepsi ini akan menggembirakan pemimpin mereka untuk lebih lantang bersuara dalam membawa isu nasional walaupun ada dalam kalangan pemimpin Umno terpalit dengan pelbagai isu.

Dalam jangka masa pendek, gabungan Umno-PAS akan beroperasi seperti kumpulan yang memberi tekanan dalam soal kaum dan agama.

Bagi tempoh jangka masa panjang, dua parti politik ini akan cuba dan mendapatkan sokongan masyarakat Melayu-Islam yang tidak berpuas hati.

* Pentadbiran Dr Mahathir

Ramai yang tidak pasti sama ada Dr Mahathir akan membuktikan janjinya dengan membenarkan himpunan ini diteruskan.

Dalam pilihan raya lalu, Pakatan Harapan menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan menjadi lebih demokratik dan terbuka terhadap perbezaan pandangan dan himpunan tunjuk  perasaan berbanding kerajaan Barisan Nasiolan yang melarang himpunan Bersih.

Namun atas janji mereka itu, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membenarkan bantahan itu diteruskan dan dengan bantuan sukarelawan PAS, Unit Amal, himpunan itu berlangsung secara aman tanpa insiden yang tidak diingini.

Satu kemenangan buat kebebasan bersuara dan Pakatan.

* PAS

Parti Islam itu sekali lagi mengingkatkan rakyat Malaysia bahawa ia mempunyai pertubuhan yang kuat berbanding parti politik lain apabila melibatkan perhimpunan secara besar-besaran.

Apabila ahlinya berkumpul dalam empat himpunan Bersih sebelum ini, mereka menunjukkan sokongan padu dalam acara tersebut.

Sama seperti yang berlaku hari ini. Walaupun himpunan itu diwar-warkan sebagai kerjasama Umno-PAS, tetapi lebih 90% entiti PAS menyertai bantahan kali ini. Umno ternyata dibayangi dengan kehadiran ahli PAS walaupun dikatakan mempunyai tiga juta ahli.

Tiada parti politik lain mempunyai rangkaian, pergerakan dan disiplin seperti PAS. Presiden parti Abdul Hadi Awang juga mendapat sorakan gemuruh apabila menaiki pentas.

Penunjuk perasaan mendengar ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada himpunan anti-ICERD di Dataran Merdeka hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 2018.


PIHAK YANG KALAH
================

* Kerajaan PH

Secara jujurnya, himpunan ini tidak akan berlaku jika kerajaan baharu mengendalikan isu ICERD dengan lebih baik dan mampu menampilkan keyakinan dalam keupayaannya untuk menunaikan janji pilihan raya.

Tempoh bulan madu sudah tamat untuk Dr Mahathir dan rakan-rakannya. Malah lebih cepat dari jangkaan.

Dan pandangan untuk mengeluarkan menteri seperti P Waythamoorthy mungkin idea yang baik untuk kebaikan semua.

* Ahmad Zahid Hamidi

Umno sentiasa bermegah sebagai parti politik terbesar yang membawa kepentingan Melayu-Islam. Namun berdasarkan daripada himpunan itu, Umno tidaklah sehebat PAS yang pernah dilabel sebagai ‘parti kampung’.

Malah ketiadaan akar umbi Umno mungkin menunjukkan Zahid tidak mempunyai pengaruh yang kuat bagi menggerakan tiga juta ahli parti itu.

Walaupun menerima tepukan, ucapan Zahid ternyata tidak memberi inspirasi. Ia lebih kedengaran seperti harapan untuk melakukan yang terbaik. Dengan harapan, pelan kerjasama Umno-PAS mampu menyelamatkan partinya itu.

* Najib Razak dan Rosmah Mansor

Ada sorakan apabila nama Najib Razak disebut dalam ucapan pemimpin yang hadir. Namun kenapa beliau dan isterinya perlu berada di sana?

Umno hanya mempunyai tiga pemimpin yang berucap iaitu Zahih, timbalan presiden Mohamad Hassan dan ahli majlis tertinggi Tajudin Rahman. Jadi mengapa Najib perlu berada di sana?

Beliau sekadar melambai tangan kepada orang ramai dan bersalaman sebelum meninggalkan pentas dengan memakai baju hujan manakala Hadi ditinggalkan tanpa sebarang perlindungan daripada hujan.

Jika Najib berharap untuk meraih simpati ekoran kes mahkamah yang sedang dihadapinya, beliau mungkin berpuas hati kerana ada segelintir ahli PAS bersorak untuknya. Tetapi itu sahaja yang diberikan untuk dirinya. – 8 Disember, 2018.

Najib Razak dan Rosmah Mansor turut menyertai himpunan anti-Icerd di Dataran Merdeka hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Disember, 2018.

Iklan
Iklan