Peserta demo anti-ICERD bimbang hak terhakis
Iklan
RASA takut dan curiga mendorong ribuan individu berhimpun membantah satu perjanjian antidiskriminasi yang tidak jadi ditandatangani Malaysia.
Peserta ini datang dari seluruh pelusk semenanjung untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mereka tidak percaya dengan pengumuman kerajaan bahawa konvensyen itu tidak akan ditandatangani di masa hadapan.
Peserta ini berpendapat, perhimpunan tersebut akan menghakis kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan, walau dimaklumkan bahawa negara seperti Arab Saudi juga meratifikasi ICERD.
Malaysia dan Brunei merupakan dua negara Islam yang masih belum menandatangani perjanjian itu.
Ramai peserta memberi alasan mereka hadir untuk “mempertahankan hak Melayu”, nanun tidak ramai yang dapat menjelaskan bagaimana hak tersebut akan terjejas.
Individu berkenaan berpendapat, dengan menandatangani ICERD, status istimewa orang Melayu dan Islam akan menjadi sama taraf kaum dan agama lain.
Seorang daripadanya berkata, ICERD tidak diperlukan untuk memastikan kesamarataan kerana orang Melayu tidak menguasai ekonomi.
Maka peruntukan perlembagaan diperlukan untuk memastikan orang Melayu memegang kedudukan istimewa, katanya.
Di sebalik kebimbangan ini adalah rungutan mengenai perkara yang didakwa tidak kena seperti ekonomi sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.
The Malaysian Insight menemui beberapa peserta untuk mengetahui sebab mereka menyertai perhimpunan ini:
Abdul Mutalib Bahuddin, 50, Kedah, pekerja swasta
Saya datang nak menyatakan pendirian Islam harus ditegakkan. Melayu Islam dan hak raja jangan digugat, ini tanah Melayu-Islam. Islam perlu diletakkan paling tinggi. Jangan perkotak-katikkan Islam.
Himpunan ada dua tujuan, pertama kita syukur ICERD tak dilaksanakan. Kita pasti di belakang PM ada tangan DAP yang boleh buka balik ruang ini. Ia tidak dibangkitkan di Parlimen. Kita tak yakin ICERD akan dibatalkan.
Yang saya faham ICERD ini susah nak terangkan. Ia menafikan hak bumiputera nak sama rata dgn kaum lain.
Saya memang tak puas hati dengan tindakan ini. Dah 60 tahun mereka rasa mereka berkuasa mereka nyatakan benda itu. Sekrang dah nak jadi Malaysian Malaysia. Kita tetap akan membantah.
Syed Malek Syed Iman, 59, ahli PAS dari Klang
Hari ini Dr Mahathir kata kita akan tangguh (tandatangan ICERD), kemudian dia kata kita akan pertimbangkannya di masa depan. Tidak ada pendirian konsisten dari mereka (kerajaan) dan Anwar Ibrahim.
Ini hanya pusingan pertama. Jika mereka teruskan (buat kenyataan tidak jelas), kita akan adakan pusingan kedua.
Apa sahaja yang ditandatangani terdahulu semasa Merdeka, hak bumiputera, hak sultan dan Islam sebagai agama rasmi – ini adalah batasnya. Selain dari itu, kami OK.
Mohd Ali Mohamed, 47, peniaga dari Kampung Peramu di Kuantan, Pahang
Kami tidak yakin kerajaan akan berpegang pada janji bahawa ICERD tidak akan diratifikasi. Kerajaan juga menipu dalam manifesto (pilihan raya).
Kami bimbang mereka akan tukar pandangan ke atas ICERD dan kita mungkin kehilangan tanah rizab Melayu. Kami mahu keamanan dan kami mahu pertahan hak bumiputera. – 8 Disember, 2018.
Baca selanjutnya di sini.