Iklan

KL2040 utama perumahan golongan pertengahan, B40, kata menteri

Yvonne Lim6 years ago10th Dec 2018Berita
Kuala lumpur house development 100918 tmiseth 01
Golongan pertengahan yang tidak mampu membeli rumah di pasaran terbuka akan diutamakan dalam Pelan Induk Kuala Lumpur 2040. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Disember, 2018.
Iklan

GOLONGAN pertengahan yang tidak mampu membeli rumah di pasaran terbuka akan diutamakan dalam Pelan Induk Kuala Lumpur 2040, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

“Sebelum ini (isu perumahan golongan pertengahan) tidak ditangani sepenuhnya. Anda boleh dapati golongan profesional muda berpendapatan kira-kira RM6,000 sebulan tapi tak mampu beli rumah.

“Mereka tidak layak untuk perumahan kos rendah dan mereka pun tidak mahu tinggal di situ.

“Tetapi mereka tidak mampu beli rumah di pasaran terbuka kerana kosnya sekurang-kurangnya RM500,000 hingga RM1 juta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjelaskan mengenai perangkaan pelan induk KL 2040 yang dijangka akan bermula pada tahun depan. Perancangan bandar seperti itu biasanya melibatkan tempoh rancangan 20 tahun.

Khalid berkata skim seperti program perumahan mampu milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) akan ditambah baik supaya lebih ramai pemohon dari golongan pertengahan akan dapat membeli rumah yang berharga sekitar RM300,000.

Kementerian itu juga mempertimbangkan untuk membeli unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewakan kepada golongan yang tidak mampu membeli rumah kos rendah.

“Unit PPR dan perumahan awam (PA) pada masa ini disewakan pada kadar RM124 sebulan. Tetapi ada kes di mana penghuni tidak dapat bayar jumlah RM124.

“Jadi kita akan cuba mencari kerja komuniti (untuk golongan tidak mampu) supaya mereka dapat duit untuk bayar sewa,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata perangkaan pelan induk KL 2040 yang dijangka akan bermula pada tahun depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Disember, 2018.

Beliau berkata ia antara isu yang sedang dikaji dan banyak lagi idea dicadangkan.

Ditanya jika pelan KL2040 itu akan menangani isu kenaikan kos sara hidup dan tidak setara dengan kenaikan gaji, Khalid berkata ia merupakan tugas kerajaan dan bukan hanya tanggungjawab kementeriannya.

“Orang miskin boleh keluar daripada keadaan miskin itu, bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Tetapi itu bukan hanya bergantung kepada saya,” katanya.

Kementerian itu menerima kritikan selepas mewartakan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (KLCP2020) tanpa melibatkan rundingan awam.

Draf untuk pelan 2020 itu mula dilancarkan pada 2008 dan melalui pelbagai pindaan tetapi tidak diwartakan oleh kerajaan terdahulu.

Beliau turut ditanya mengenai tindakan tergesa-gesa kerajaan dalam mewartakan pelan 2020 tanpa rundingan awam.

Khalid berkata pelan itu sudah sedia untuk diwartakan pada 2015 tetap menteri waktu itu Tengku Adnan Tengku Mansor enggan mewartakannya pada saat akhir.

Beberapa urus niaga jualan tanah di Kuala Lumpur yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional itu juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Khalid dalam laporan terdahulu berkata perkara berbangkit dalam pelan 2020 itu akan ditangani dalam pelan 2040. – 10 Disember, 2018.

Iklan
Iklan