Iklan

Gangguan seksual di tempat kerja, singkatkan siasatan, kata menteri

Looi Sue-Chern6 years ago10th Dec 2018Berita
Iklan

PROSEDUR operasi standard (SOP) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap gangguan seksual di tempat kerja perlu dipendekkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Komuniti dan Pembangunan Keluarga, Hannah Yeoh.

Ini adalah bagi membolehkan mangsa kembali bekerja dalam persekitaran yang selamat selepas membuat aduan.

“Berdasarkan pengalaman kami dengan kes Hospital Sungai Buloh, para mangsa akan berasa sangat tidak selesa untuk kembali bekerja selepas membuat aduan, jika pelaku masih berada di tempat kerja mereka.

“Oleh itu, kita perlu pastikan bahawa keseluruhan proses tidak membenarkan siasatan diheret terlalu lama tanpa tindakan.

“Dalam persekitaran toksik semacam ini, di mana gangguan seksual berleluasa, biasanya ada yang cuba tutup (kes). Sama ada ia melibatkan lelaki atau wanita, mereka biasanya akan sama-sama menjaga rahsia,” kata Yeoh kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini ketika acara penutup kempen Orange Goes Penang.

Beliau berkata kementeriannya mendapat pengalaman berharga dalam menangani kes gangguan seksual Hospital Sungai Buloh yang akhirnya menyaksikan seorang ketua jabatan ditamatkan daripada perkhidmatan awam.

Kementerian tidak berfungsi memperbaiki garis panduan dan sistem aduan semasa menunggu Akta Gangguan Seksual diluluskan.

Kementerian itu juga menjalankan kajian kesan berhubung gangguan seksual di tempat kerja dan akan menyelesaikan kajian tersebut bulan depan. Penemuannya akan membantu dalam penggubalan rang undang-undang gangguan seksual.

Yeoh mengharapkan undang-undang baru yang akan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, dan ia akan mula berkuat kuasa, tahun depan.

Dalam kes Sungai Buloh, beliau berkata mangsa yang mengadu terhadap pelaku menerima ancaman selepas mereka membuat aduan.

Beliau berkata sepatutnya tidak wujud persekitaran, apabila satu aduan gangguan seksual menyebabkan seluruh pejabat mencari siapa pengadu tersebut, dan bukannya mensasarkan pelaku gangguan seksual itu.

“Jadi, kes Sungai Buloh sangat penting bagi kementerian kami untuk memahami gangguan seksual, dan ia merupakan pengalaman yang baik untuk kami kerana kami tahu di mana cabaran-cabaran itu.

“Kita perlu tahu mengapa orang tidak mahu membuat laporan polis.”

Kejadian di Hospital Sungai Buloh mula diperkatakan pada bulan Julai apabila The Star mendedahkan bagaimana seorang ketua jabatan ortopedik dituduh melakukan serangan seksual terhadap wanita di bawah pengawasannya.

Pelaku adalah seorang doktor pakar, yang mempunyai kuasa sepanjang tempoh latihan kedoktoran, dilaporkan menjadikan mereka yang berada di bawah kuasanya sebagai mangsa.

Dalam ucapannya pada majlis tadi, Yeoh juga turut memberitahu bagaimana satu ciapan Twitter Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mahu mengambil tindakan terhadap pelaku membuatkan lebih ramai mangsa membuat aduan mereka terhadap pakar itu.

Pada mulanya, beliau berkata hanya dua doktor junior yang mengadu, namun selepas ciapan itu, 30 doktor dan pakar lain tampil membuat aduan.

“Salinan aduan mereka sampai ke kementerian saya. Sebelum itu, mangsa takut. Mereka telah kemukakan aduan tetapi mereka yang berjawatan lebih kanan tidak mempercayai aduan mereka kerana hanya kerana mereka berpangkat rendah. Beberapa kes bahkan terjadi lima tahun lalu.

“Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat sementara peguam Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo memberikan bantuan guaman,” katanya.

Selepas siasatan, pakar itu akhirnya ditamatkan tugas daripada perkhidmatan awam, kata Yeoh.

“Orang ramai bertanya mengapa ia tidak menjadi kes polis. Mangsa perlu membuat laporan polis, tetapi itu bermakna pelaku akan dapat mengupah seorang peguam jika dituduh di mahkamah.

“Para mangsa perlu pergi ke mahkamah, memberi keterangan dan disilang siasat,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia masih mempunyai budaya di mana orang menyalahkan mangsa bagi kes-kes tersebut, menuduh mereka tidak berkelakuan elok atau tidak berpakaian dengan betul. – 10 Disember, 2018.

Iklan
Iklan