Dakwaan SPRM ke atas Najib, Arul Kanda tidak jejas siasatan PAC
Iklan
PERTUDUHAN yang akan difailkan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas presiden 1Malaysia Development Bhd Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit 1MDB tidak menjejaskan siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap isu yang sama.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki tersebut esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjayanya, Mohd Shukri Abdull berkata, ketika hendak menjalankan pertuduhan, PAC tidak miliki kuasa berbuat demikian.
“PAC tidak ada kuasa untuk menjalankan pertuduhan. Biarkan SPRM jalankan. Kami telah selesaikan siasatan kami. Kita tunggu keputusan mahkamah.
“Saya fikir siasatan PAC akan sama sahaja seperti apa yang kami jalankan. Tetapi saya tidak tahu apak tindakan yang PAC akan ambil,” katanya kepada pemberita di stesen kereta api Bukit Mertajam petang ini.
SPRM dan Keretapi Tanah Melayu Bhd melancarkan kempen anti rasuah untuk penumpang kereta api hari ini.
PAC juga dilaporkan menjalankan siasatan mengenai dakwaan yang meminda laporan audit, yang dibentang pada bulan Mac 2016 sewaktu Najib masih berkuasa.
Najib, yang sebelum ini juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, ditahan oleh SPRM pagi tadi selepas beliau muncul di ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat. Beliau kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Arul Kanda juga turut dilaporkan ditahan SPRM awal hari ini.
Khamis lepas, Najib dipanggil untuk memberikan kenyataannya mengenai perkara itu. Sehari sebelumnya, SPRM turut menyoal siasat bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad.
Siasatan ke atas laporan audit 1MDB yang dipinda itu adalah susulan pendedahan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad pada 25 November yang mengatakan bahawa laporan audit terakhir dipinda atas arahan Najib.
Beliau mengatakan wujud dua perkara utama dalam pendedahan itu iaitu - kehadiran ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho di mesyuarat lembaga 1MDB, dan status kewangan pelaburan negara - yang dikatakan telah dikeluarkan daripada laporan audit tersebut. – 11 Disember, 2018.