Iklan

Langsung: Najib, Arul Kanda didakwa salah guna kuasa

The Malaysian Insight6 years ago12th Dec 2018Berita
 afi0957
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di kompleks mahkamah di Kuala Lumpur pagi ini sambil diiringi beberapa pegawai SPRM dan penyokongnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 Disember, 2018.
Iklan

PENDAKWA raya mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini meminda laporan audit dana pelaburan negara.

Najib ditahan selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Isnin tetapi dibebaskan beberapa jam kemudian.
Arul Kanda ditahan semalam di ibu pejabat SPRM dan tidak dibenarkan ikat jamin.

Kedua-duanya dibebaskan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694).

Arul Kanda mengetuai 1MDB dari Januari 2015 hingga Jun tahun ini, apabila perkhidmatannya ditamatkan.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mengeluarkan kenyataan bulan lalu yang mendakwa pindaan dibuat kepada laporan audit 1MDB yang dikemukakan oleh penyandang Ambrin Buang pada 2016.

Beliau berkata laporan yang diubah itu juga menggurgurkan nama ahli perniagaan buruan Low Taek Jho pada mesyuarat lembaga 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Bagaimanapun, Ambrin berulang kali menafikan mengubah laporan itu.

Peguam Arul Kanda, N. Sivananthan, berkata beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas penyalahgunaan kuasa.

Dalam tempoh dua minggu lepas, SPRM memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan mereka, berhubung laporan audit termasuk bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, Ambrin, dan pegawai daripada Jabatan Audit Negara serta Kementerian Kewangan.

Najib sudah menghadapi 38 tuduhan kesalahan jenayah berkaitan dengan 1MDB.

The Malaysian Insight membawa anda liputan prosiding secara langsung.

12:13pm: Najib meninggalkan kompleks mahkamah.

11.30am: Arul Kanda beredar dari kompleks mahkamah menaiki BMW coklat.

11.15am: Arul Kanda tiba di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk membayar ikat jamin.

Bapa mertuanya dijangka akan membayar ikat jamin.

10.05am: Hakim Azura menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,00.

Shafee meminta jumlah itu dibayar tiga kali secara ansuran iaitu sebanyak RM200,000 dan baki  RM200,000 serta RM100,000.

Beliau berkata ini pernah berlaku dalam kes lain.

Azura menolak permintaannya dan berkata wang jaminan perlu dibayar hari ini.

Gopal bertanya sama ada kes itu boleh disebut bersama dengan kes Arul pada 4 Januari.

Azura bersetuju.

9.55am: Shafee meminta budi bicara Hakim Azura melihat kepada keadaan dan tidak mengenakan jaminan.

Beliau berkata Najib sudah membayar RM5.5 juta dan menyerahkan pasportnya untuk memastikan kehadirannya.

Shafee berkata jika Najib berdepan lebih banyak pertuduhan, jumlah jaminan akan meningkat sehingga RM50 juta.

Gopal berhujah tertuduh adalah pesalah utama dan oleh itu pesalah utama perlu dilayan berbeza.

Beliau berkata hakikat Arul yang dikenakan ikat jamin RM500,000 tidak memberi kesan kepada kes ini kerana beliau (Najib) adalah pesalah utama.

9.43am: Gopal Sri Ram meminta ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Shafee berhujah pertuduhan dikenakan serupa dengan Arul dan hukuman yang sama.

Beliau juga berkata ini adalah kali pertama Arul dituduh dan pihak pendakwa meminta ikat jamin sebanyak RM500,000 yang boleh dianggap sebagai diskriminasi.

Shafee juga mengatakan Najib sudah dikenakan ikat jamin sebanyak RM5.5 juta berhubung tiga tuduhan berasingan.

Beliau berkata tidak adil bagi Gopal meminta jaminan dan mencadangkan tanpa ikat jamin.

9.38am: Najib memasuki bilik mahkamah 9, lokasi pertuduhannya akan dibaca.

Najib diwakili oleh Muhammad Shafee Abdullah manakala Gopal Sri Ram sebagai pihak pendakwa.

Pendakwa raya membacakan pertuduhan terhadap Najib.

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy tiba di kompleks mahkamah di Kuala Lumpur pagi ini. Beliau ditahan semalam di ibu pejabat SPRM dan tidak dibenarkan ikat jamin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Disember, 2018.

9.40am: Ku Nan meninggalkan kompleks mahkamah.

9.17am: Hakim Azura Alwi masuk ke mahkamah bagi pertuduhan kes Najib.

9.10am: Pendakwa raya Gopal Sri Ram meminta jaminan sebanyak RM500,000 dan Arul disuruh menyerahkan pasportnya.

Peguam Arul N. Sivananthan bertanya sama ada beliau boleh membayar RM250,000 hari ini dan bakinya esok.

Hakim Rozina menolak permintaan itu dan meminta Arul membayar penuh wang jaminan hari ini.

9.05am: Pendakwa raya, Gopal Sri Ram membacakan pertuduhan terhadap Arul Kanda.

Hakim bertanya sama ada beliau mengaku bersalah dan dijawab tidak.

8.45am: Hakim Rozina Ayob mendengar kes Arul Kanda.

8.35am: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Sesyen Kualal Lumpur diiringi pegawai SPRM dan beberapa penyokong.

8.32am: Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor muncul di kompleks mahkamah.

8.05am: K. Arul Kanda tiba di kompleks mahkamah sambil diiringi pegawai SPRM. – 12 Disember, 2018.

Iklan
Iklan