Ambil tahu faktor wujud suruhanjaya siasat Bank Negara
Iklan
KENAPA? Rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) mesti selalu berpegang pada soalan ini sepanjang siasatan dan apabila keputusannya diumumkan nanti.
Kenapa penolong gabenor BNM Abdul Murad Khalid, selepas membisu selama berpuluh tahun, tiba-tiba muncul dengan cerita kerugian bank pusat versinya itu? Kenapa beliau memilih untuk bercakap bagi pihak kerajaan?
Bank pusat itu dikatakan rugi AS$10 bilion ketika itu, atau kira-kira RM31 bilion pada masa itu berbanding RM43 bilion mengikut nilai tukaran sekarang. Gabenor BNM Jaafar Hussein dan penolong gabenor Nor Mohamed Yakcop meletak jawatan pada 1994 berhubung kerugian itu.
Tanyakan juga apakah kenyataan Murad itu perlu dipertimbanglan, berdasarkan prestasinya membuat perisytiharan menggemparkan apabila ditekan oleh kerajaan yang memerintah.
Ingat lagi pendedahannya tentang akaun-akaun yang dikatakan menyimpan berbilion ringgit untuk timbalan perdana menteri yang dipecat Anwar Ibrahim; ada apa-apakah daripada pendedahan itu? Tidak ada.
Ingatlah bahawa kerajaan akan mengheret orang tertentu dengan satu tujuan untuk melengkapkan cerita dan menyalahkan Dr Mahathir Mohamad, Anwar dan lain-lain yang sudah beralih kem politik sejak beberapa tahun ini.
Kenapa tuju mereka sekarang? Adakah kerana mereka sudah terlalu menjengkelkan bagi kerajaan Najib Razak? Adakah kerana dua orang ini sudah berkawan dan semakin popular di kalangan rakyat bagi menuju pilihan raya akan datang?
Apakah tuduhan terhadap mereka ini melekat dan masuk akal pada orang ramai? Adakah ini sebabnya mereka mesti dihina biarpun terpaksa berpatah balik jauh ke belakang? Bukankah pembangkang pernah mendesak penubuhan suruhanjaya yang sama tetapi tidak dipedulikan?
Rakyat Malaysia mesti bertanya setiap kali ada orang yang tampil entah dari mana dengan dakwaan yang menjahanamkan dalam suruhanjaya itu. Kenapa? Kerana versi episod itu tidak dicabar oleh peguam bela.
Apa yang berlaku pada suruhanjaya ini adalah untuk semua pihak dengar dan putuskan, dan menjadi asas laporan dan cadangan oleh panel kepada Yang di-Pertuan Agong, dan kerajaan.
Apa yang kerajaan akan buat dengan laporan itu terserah padanya, ada laporan yang tersimpan dalam kabinet dan ada yang diambil tindakan atas sebahagian atau semua cadangan. Adakah keadilan dicapai?
Kita hanya boleh berharap. Akhirnya, semuanya bergantung pada rakyat Malaysia.
Kenapa? Kerana benteng akhir keadilan dan integriti di Malaysia adalah rakyat Malaysia. Bukan suruhanjaya itu. Bukan mahkamah. Bukan juga mana-mana institusi. – 22 Ogos, 2017.