Program bank makanan Pulau Pinang harap jadi inspirasi
Iklan
APABILA Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasmikan program bank makanan kebangsaan pada 22 Disember nanti, tidak ramai yang sedar Mutiara Food Bank (MBF) di Pulau Pinang yang mengilhamkan program ini juga akan meraikan kejayaannya sendiri.
Dr Mahathir juga akan merasmikan dapur MBF yang dijangka akan meningkatkan jumlah makanan dalam program tersebut lantas dapat menghulurkan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Pengubahsuaian dapur yang menelan kos RM142,000 yang dikeluarkan oleh kerajaan Pulau Pinang itu kini hampir siap. Dapur yang menjadi pusat program makanan ini akan mempunyai bilik sejuk, ruang menyimpan makanan kering serta ruang memasak dan penyediaan.
Sebaik saja kerja-kerja ubah suai selesai, semua hotel di sekitar Pulau Pinang akan menghantar makanan lebihan ke dapur MFB untuk disimpan di dalam bilik sejuk.
Makanan ini akan dipanaskan, dimasak dan dibungkus semula oleh chef sebelum diedarkan kepada penerima.
Ini akan melengkapkan operasi MFB sekarang iaitu mengumpul sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan yang tidak terjual di Tesco untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan.
“Kami ada 42 hotel, Penang Hoteliers Association dan Penang Chefs Association menyertai kami, menghantar lebihan makanan yang mereka sediakan untuk jamuan makanan,” kata Timbalan Pengerusi MFB Abdul Wahab Long.
Dapur MFB juga katanya akan dijadikan sebagai pusat untuk menyediakan makanan ketika berlaku bencana atau kecemasan.
Kisah kejayaan Pulau Pinang
MFB Pulau Pinang diasaskan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail pada Mei lepas, iaitu ketika menjadi penasihat strategik bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Ia sudahpun menjadi satu kejayaan ketika itu, lama sebelum dapur MFB dibina.
Apabila Saifuddin menjadi menteri selepas pilihan raya 9 Mei, beliau memperkenalkan program bank makanan kepada Dr Mahathir, lantas perdana memberikan sokongan supaya program tersebut dijadikan model untuk digunapakai di seluruh negara. Kini, kementerian Saifuddin menerajui program itu di seluruh Malaysia.
Dalam masa tujuh bulan selepas dilancarkan, program bank makanan itu mengedarkan makannan kepada sekitar 7,000 penerima. Mereka ini dikenal pasti melalui pangkalan data Zakat Pulau Pinang (ZPP), jabatan kebajikan negeri dan Program Agenda Ekonomi Dan Saksama (AES) Pulau Pinang.
Seramai 31,429 orang di Pulau Pinang kini mendapat manfaat dari MFB, merentasi 14 kawasan di pulau dan tanah besar. Sejak program bermula pada tahun lepas, ia berjaya menyelamatkan 261 tan sayuran dan buah-buahan serta 103 tan makanan berasaskan roti daripada dibuang.
“Dulu ada ramai orang yang ingin membantu, tetapi kami tidak ada platform untuk selaraskan pengumpulan dan pengedaran makanan. Sekarang ini sudah ada, dengan program bank makanan,” Wahab memberitahu The Malaysian Insight.
Jelasnya, dapur pusat itu akan membolehkan lebih ramai penderma menghantar makanan.
“Mereka ada banyak makanan lebih, tambahan pula kerajaan ada data penerima B40 yang layak dapat bantuan. Kita cuma perlu kenal pasti penerima yang sangat memerlukan,” kata Wahab. – 21 Disember, 2018.
Baca berita penuh di sini.