SPRM jumpa naib canselor Unisel kali ke-3
Iklan
Naib canselor Universiti Selangor (Unisel) memberitahu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat Universiti Selangor (Unisel) dan menemuinya pagi tadi adalah kejadian kali ketiga.
Justeru, Dr Redzuan Othman mengakui tidak terkejut dengan kedatangan enam pegawai SPRM ke pejabatnya dan memberitahu ia adalah siasatan bagi satu kes lama.
“Ini adalah kes lama yang tidak melibatkan saya. Ia berlaku pada tahun 2013, 2014 yang lalu.
“Jadi saya tidak kisah sangat,” katanya kepada The Malaysian Insight yang ditemui selepas kejadian itu.
Redzuan juga memberitahu yang pegawai SPRM berkenaan turut ke pejabat bahagian kewangan universiti itu.
Selain Unisel, pejabat Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Jana Niaga Sdn Bhd turut diserbu pagi tadi.
Tindakan SPRM itu dipercayai berdasarkan laporan yang dibuat terhadap Menteri Besar Selangor Azmin Ali dan MBI berhubung pertikaian antara Unisel dan kontraktornya, Jana Niaga Sdn Bhd.
Dilaporkan Jana Niaga didakwa menerima pampasan kewangan dan kontrak baru daripada Unisel, walaupun gagal menyempurnakan kontrak sebelumnya. – 22 Ogos, 2017.