Bangunan warisan, bersejarah akan dipelihara sebaik mungkin, kata Datuk Bandar Pulau Pinang
Iklan
BANGUNAN warisan di luar zon warisan Unesco di Pulau Pinang akan dilindungi sebaik mungkin jika ia miliki nilai sejarah dan warisan, kata datuk bandar Yew Tung Seang.
Beliau berkata Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menilai bangunan tersebut, selain daripada meneliti keadaan bangunan itu pada ketika ini, sebelum membuat keputusan mengenai perobohan bangunan tersebut.
“Kami ada pegawai teknikal yang meneliti permohonan itu. Mereka akan kaji secara terperinci sebelum memutuskan sama ada meluluskan perobohan bangunan terbabit atau tidak.
“Kami lihat keadaan bangunan dan aspek lain, seperti nilai sejarah dan reka bentuk seni bina.
“Sekiranya ada nilai sejarah, warisan dan seni bina, MBPP pasti akan kekalkan bangunan itu sebaik mungkin,” kata Yew kepada pemberita selepas mesyuarat di Dewan Bandaraya pagi ini.
Yew memberikan respons mengenai kritikan yang ditujukan terhadap MBPP dan kerajaan Pulau Pinang ekoran meluluskan perobohan beberapa banglo lama di Lebuhraya Peel di Pulau Tikus bagi membolehkan pembangunan kompleks perubatan Island Medical City berjalan.
Pembangunan yang menelan belanja berbillion ringgit adalah projek peluasan kawasan hospital pulau itu. Hospital tersebut terletak di seberang jalan tapak pembangunan itu, yang ketika ini menyaksikan aktiviti perobohan sedang berjalan.
Minggu lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tidak ada syarat khas yang melarang perobohan bangunan warisan di luar zon Unesco.
Beliau berkata perobohan bangunan diteliti berdasarkan kes yang wujud mengenainya oleh MBPP.
Beliau juga berkata minggu lalu bahawa terdapat banyak contoh pihak MBPP memberitahu pemilik tanah atau pemaju supaya memelihara bangunan warisan di tapak projek yang sedang dibangunkan mereka, ini bagi membolehkan bangunan lama dan baru boleh terus wujud.
Yew berkata bahawa MBPP berkata tiada permohonan roboh lain yang masih diteliti berkaitan bangunan warisan, seperti apa yang berlaku terhadap kawasan pembinaan di Lebuhraya Peel.
“Setakat ini tidak ada. Itu apa yang saya tahu,” katanya. – 14 Disember, 2018.