Iklan

Siapa untung daripada Umno yang runtuh?

The Malaysian Insight6 years ago15th Dec 2018Berita
Perhimpunan agung umno 2018 20180927 tmiafif 02
Cadangan Umno untuk bersekutu dengan PKR dan DAP mendapat tentangan akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.
Iklan

UMNO sedang koyak dicabik-cabik.

Seorang demi seorang wakil rakyatnya keluar parti dan tidak lama akan jadi berbondong-bondong, kalau ikut kata Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin.

Enam ahli Parlimen Umno dari Semenanjung meninggalkan parti itu semalam, lima dari Sabah sehari sebelumnya bersama beberapa wakil rakyat negeri.

Ada banyak lagi yang mengancam akan keluar parti sekiranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak letak jawatan.

Tetapi satu soalan yang tidak ditanya ialah: Siapa yang untung daripada Umno yang runtuh?

Dr Mahathir Mohamad, partinya Bersatu atau Anwar Ibrahim dan partinya PKR? Atau mungkin Amanah? Atau bekas ahli Umno sendiri yang cuba lari daripada kemungkinan dihadapkan dengan tuduhan jenayah?

Realitinya atau kebimbangan, bagi sesetengah pihak, ialah 11 ahli Parlimen ini akan menyertai salah satu daripada tiga parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH).

PKR mempunyai ramai ahli Parlimen, sekarang 50. Bersatu ada 16 dan Amanah 11. Namun, tiada seorang pun dalam kalangan ahli Parlimen bekas Umno ini mahu atau dapat diterima oleh DAP.

Dr Mahathir mungkin berminat untuk menambah jumlah ahli Parlimen Bersatu sepanjang tempoh singkat beliau menjadi perdana menteri.

Beliau malah berkata ada sebahagian pemimpin yang bagus dalam Umno.

Ahli Parlimen Larut yang keluar Umno semalam mendedahkan lebih kurang begitu.

“(Seramai) 33 ahli Parlimen Umno, satu PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan dua MIC tandatangan sokongan kepada PM (perdana menteri). Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu,” katanya, seperti dipetik Berita Harian.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.”

Sokongan kepada Dr Mahathir itu kini boleh jadi igauan pada Anwar bahawa beliau mungkin tidak cukup sokongan untuk menjadi perdana menteri pengganti, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH dan dipersetujui dalam majlis presidennya.

Apatah lagi, sebahagian daripada manifesto itu sudah diketepikan dengan alasan mereka sebenarnya tidak fikir boleh menang pilihan raya 9 Mei lalu.

Untungnya Anwar, dan alasan kenapa kelompok Zahid dalam Umno berunding dengan beliau melalui Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Nazri Aziz ialah kerana Dr Mahathir sudah berkata Bersatu tidak akan menerima 12 ahli Parlimen Umno sekiranya mereka keluar parti.

Mereka boleh menyertai PKR atau DAP dalam satu pakatan untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri, lebih 20 tahun selepas beliau hanya selangkah saja menduduki tampuk kuasa itu.

Cadangan Umno untuk bersekutu dengan PKR dan DAP mendapat tentangan akar umbi pada perjumpaan Nazri dengan mereka baru-baru ini. Namun Nazri tidak minta ampun tentang kemungkinan kerjasama itu.

“Anwar tidak janji apa-apa. Beliau cuma kata beliau belum lagi perdana menteri. Jadi, kita kena pergi jumpa beliau semula apabila jadi perdana menteri nanti.

“Sementara itu, keadaannya kekal seperti sekarang dan kita cuba yang terbaik untuk tidak dibatalkan pendaftaran,” kata Nazri kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanakah semua ini menguntungkan parti lain dalam PH? Adakah mereka setuju dengan penyertaan beramai-ramai bekas pemimpin Umno yang dulu menjadi tukang sorak Najib Razak sebelum pilihan raya tetapi sekarang merangkak untuk menyeberang?

Menurut Dr Mahathir, pemimpin DAP Lim Kit Siang terbuka dengan idea itu dan bersetuju Umno ada anggota yang baik.

“Saya sendiri ahli Umno dulu, Kit Siang terima saya. Ini bukan pasal ahli tetapi apa yang kita buat,” kata perdana menteri semalam.

Namun Lim hanya berkata bekas ahli Umno ini mesti terlebih dulu menebus kesilapan mereka menyokong Najib dulu.

Mungkin ia akan mengambil masa yang lama. Lagi pula, sesetengah mereka terbelit dengan skandal dan berdepan pertuduhan jenayah atas apa yang mereka buat selama bersama Umno. Pemimpin Umno masih lagi saban minggu dihadapkan dengan pelbagai kes.

Namun kesan keruntuhan Umno sekarang ini jelas.

Ahli Parlimen yang keluar Umno dan bersedia sama ada masuk Bersatu atau PKR boleh dan akan menentukan nasib Anwar menjadi perdana menteri.

Ia tidak akan menentukan apakah PH boleh dapat lebih banyak sokongan Melayu dalam pilihan raya akan datang. Yang itu masih lagi bergantung sejauh mana parti itu dapat memenangi hati dan sanubari pengundi Melayu dalam masa lima tahun akan datang. – 15 Disember, 2018.

Iklan
Iklan