Apa maknanya ahli Parlimen Umno keluar parti?
Iklan
EPISOD wakil rakyat Umno keluar parti memuncak minggu lalu walaupun ia sebenarnya sudah bermula sejak parti itu kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 dan ditolak sebagai kerajaan di Putrajaya dan negeri.
Tindakan beberapa wakil rakyatnya keluar parti sebelum ini membantu pembentukan kerajaan negeri misalnya di Sabah dan Perak, atau mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan misalnya di Johor dan Kedah.
Namun tindakan mereka keluar Umno jadi perhatian apabila minggu lalu saja, 11 ahli Parlimennya mengumumkan jadi wakil rakyat bebas.
Rabu lalu, lima ahli Parlimen Umno di Sabah keluar parti serentak bersama 9 ahli dewan undangan negeri, dua senator dan 21 ketua bahagian, menjadikan Umno Sabah lumpuh.
Pada Jumaat, enam ahli Parlimen di Semenanjung pula keluar parti berjemaah menjadikan setakat ini, 17 semuanya yang sudah keluar Umno sementara ada laporan lebih ramai lagi akan menyusul tidak lama lagi.
Kenapa mereka keluar Umno?
Hampir semua ahli Parlimen Umno yang keluar parti memberi alasan mereka hilang keyakinan pada kepimpinan dan hala tuju parti dalam landskap baru politik Malaysia selepas PRU14.
Ada juga yang memberikan alasan tidak nampak isyarat Umno mahu berubah walaupun kalah pilihan raya, merujuk pada keputusan pemilihan parti yang mengangkat Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.
Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed yang keluar Umno pada 18 September secara khusus menyebut hala tuju parti itu yang tidak lagi inklusif, dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum dan budaya, tidak lagi selari dengan jiwanya.
Sesetengah ahli-ahli Parlimen Umno di Sabah, seperti Anifah Aman keluar parti untuk menubuhkan sebuah platform baru yang boleh memperjuangkan hak anak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Apa pendirian Umno?
Zahid dan pemimpin kanan Umno menyifatkan mereka yang keluar parti ini sebagai kelompok yang tiada semangat juang selepas parti hilang kuasa.
Mereka juga mendakwa ahli Parlimen yang keluar Umno ini hanya mementingkan diri sendiri dan mahukan jawatan. Mereka juga menuduh sesetengah bekas pemimpin Umno itu diugut keluar parti dengan kemungkinan dihadapkan di mahkamah kerana salah laku semasa dalam kerajaan Barisan Nasional dulu.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut melihat tindakan ahli-ahli Parlimen ini keluar parti sebagai proses pembersihan parti yang akan memudahkan Umno bangkit semula.
Siapa dapat manfaat mereka keluar Umno?
Bersatu yang menang 13 kerusi di Dewan Rakyat kini mendapat tambahan tiga kerusi lagi apabila menerima Mustapa serta Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) sebagai ahlinya.
Dengan lebih ramai ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), kerajaan bakal mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukannya untuk melaksanakan beberapa janji perubahan dalam manifesto pilihan rayanya.
Ini termasuk perubahan yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti pengasingan kuasa pendakwaan pada peguam negara, had tempoh jawatan perdana menteri dan lantikan beberapa jawatan ke institusi pentadbiran.
Apa pendirian komponen Pakatan Harapan?
Beberapa pemimpin terutamanya DAP berpendirian PH tidak boleh menerima bekas Umno ini masuk mana-mana parti komponen pemerintah. Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menegaskan mengambil mereka masuk PH mengkhianati kepercayaan yang rakyat beri pada PRU14.
Namun Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad berkata veteran DAP Lim Kit Siang tidak keberatan bekas Umno ini masuk PH kerana “ada pemimpin Umno yang baik”.
Lim dalam satu kenyataan mengingatkan pimpinan PH jangan tergesa-gesa menerima ahli Parlimen bekas Umno melainkan latar belakang mereka diteliti dahulu dan mereka “bertaubat” kerana pernah menyokong kerajaan kleptokrat Najib Razak.
Dalam pada itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata partinya sedia menerima bekas ahli Parlimen Umno ini dan ia bukan jaminan mereka boleh terlepas tindakan undang-undang jika ada salah laku rasuah atau salah guna kuasa sebelum ini.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub juga berpendirian sama, PH tidak boleh menolak mereka mentah-mentah sebaliknya perlu ditapis dan hanya yang bersih dan amanah saja diterima.
Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun tegas partinya tidak akan mempertimbangkan untuk menerima bekas pemimpin Umno menyertai parti itu walaupun sudah ada permintaan untuk berbuat demikian.
Apa masa depan Umno?
Umno kini terbahagi tiga, antara kem yang masih bercita-cita mahu jadi kerajaan melalui kerjasama dengan parti-parti lain dengan kelompok yang mahu keluar parti dan satu lagi, yang mahu kekal membina semula Umno.
Apa yang ternampak jelas, kepimpinan Zahid dari hari ke hari, minggu ke minggu semakin dipersoalkan.
Desakan mahu beliau letak jawatan semakin lantang. Malah, sudah ada gerakan di peringkat akar umbi mengusahakan usul untuk ketua pembangkang itu menyerahkan kepimpinan Umno kepada pemimpin lain yang boleh diharap untuk memulihkan semula parti. – 15 Disember, 2018.