Iklan

Serbuan SPRM terhadap Unisel, MBI untuk burukkan imej Selangor

Amin IskandarNoel Achariam7 years ago22nd Aug 2017Berita
Sprm serbu
SPRM hari ini mengadakan serbuan serentak di Universiti Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2017.
Iklan

KERAJAAN Negeri Selangor menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu universiti dan syarikat berkaitan kerajaan negeri itu satu percubaan untuk menjejaskan imej mereka.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada agensi anti rasuah itu.

“Kerajaan negeri Selangor kesal dengan tindakan SPRM yang menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) hari ini.

“Ia secara terang-terangan menunjukkan tindakan terancang bertujuan menjejaskan imej Kerajaan Negeri Selangor yang tuntas berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” kata Yin dalam satu kenyataan hari ini. 

SPRM melakukan serbuan terhadap Unisel, MBI dan kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd, pagi ini.

The Malaysian Insight difahamkan, SPRM merampas sekotak dokumen selepas menyerbu pejabat MBI.

Azmin kini berada di luar negara untuk lawatan rasmi kerajaan negeri.

Yin berkata, walaupun Selangor mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung laporan yang dibuat mana-mana pihak terhadap kerajaan negeri, agensi itu dituntut supaya menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi tekanan politik.

“Tekanan politik terhadap SPRM hanya menyebabkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah ini terhakis dan tercalar.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung apa jua siasatan yang dilakukan dan pada masa sama, tegas mempertahankan prinsip kebertanggungjawaban dan integriti dalam urus tadbir Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikatnya,” katanya.

Yin berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Nik Nazmi Nik Ahmad dan MBI sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi pada 25 Julai 2017 dan 27 Julai 2017 berhubung dakwaan terhadap isu Jana Niaga Sdn Bhd.

“Tindakan Kerajaan Negeri Selangor berhubung perkara ini adalah berdasarkan keputusan mahkamah, di mana pihak terbabit bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah.

“Penyelesaian yang dimuktamadkan antara Unisel dan Jana Niaga Sdn Bhd adalah berdasarkan tadbir urus yang baik dan langsung tidak membabitkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali secara peribadi atau atas kapasiti individu yang membuat keputusan penyelesaian pertikaian berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, jika terdapat salah guna kuasa SPRM mempunyai hak untuk menyiasat.

“Tetapi ia kelihatan seperti mereka (SPRM) menyasarkan negeri Pakatan Harapan (PH)  Selangor dan Pulau Pinang. 

“Saya rasa ini merupakan percubaan untuk menakut-nakutkan kerajaan Selangor bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan jika itu isunya, apa yang dilakukan SPRM adalah salah,” kata Santiago yang juga merupakan pemimpin DAP Selangor.  – 22 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan