Akar umbi bingung dengan tindakan Nurul Izzah, kata sumber
Iklan
TINDAKAN Nurul Izzah Anwar melepaskan semua jawatan parti menyebabkan ahli akar umbi parti itu bingung, kata sumber PKR.
“Semua orang tertanya-tanya kenapa beliau buat begitu. Akar umbi pun pening,” kata sumber kepada The Malaysian Insight susulan kenyataan mengejut ahli Parlimen Permatang Pauh itu semalam.
Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden, jawatan yang dikekalkannya dengan memenangi undi paling banyak dari pencabar lain.
Satu lagi jawatan yang dilepaskannya adalah ketua PKR Pulau Pinang, yang baru sahaja diumum pelantikannya pada Ahad lalu.
Katanya, beliau juga akan menyerahkan kepada pemimpin parti untuk memutuskan mengenai peranannya dalam syarikat kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak akan berkhidmat dalam kerajaan persekutuan dalam apa kapasiti sekalipun.
Sumber parti itu mempersoalkan niat sebenar di sebalik pengumuman tersebut kerana tiada siapa yang percaya Nurul Izzah hanya mahu berkhidmat sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.
“Alasannya itu tidak cukup kukuh. Jika benar, kenapa bersusah-payah bertanding dalam pemilihan. Kenapa tidak buat kerja NGO sahaja?
“Ahli akar umbi tidak gembira dengan keputusannya. Tiada siapa yang dapat mesej sebenar. Apa yang (Nurul Izzah) cuba beritahu kita?
“Adakah anda hanya menghantar isyarat kepada pemimpin parti? Semuanya tidak jelas,” kata sumber itu lagi.
Beliau menambah, kekeliruan tersebut hanya membangkitkan spekulasi dan seterusnya menimbulkan ketidakpastian dalam parti.
Malah kenyataan Nurul Izzah di media sosial mengenai tindakan pemimpin Umno meninggalkan parti dan masuk parti kerajaan juga menyebabkan ramai orang membuat kesimpulan sendiri.
Dalam tulisan di Twitter pada Ahad, Nurul Izzah berkata tindakan itu satu pengkhianatan kepada mandat rakyat pada 9 Mei dan penghinaan kepada pihak yang setia kepada perjuangan parti.
Walau tidak menyatakan mana-mana pihak, jelas sekali ia merujuk kepada tindakan ahli Parlimen dan anggota Umno yang mengumumkan menjadi parti bebas atau menyertai parti Bersatu dan Warisan.
Tindakan pemimpin Umno berkenaan juga menimbulkan persoalan mengenai persaingan kuasa di antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sebagai bakal penggantinya, kata sumber. – 18 Disember, 2018.