Iklan

Kematian Adib cetus gesaan rakyat Malaysia terus berpadu

Looi Sue-Chern6 years ago18th Dec 2018Berita
Adib firefighter 181218 tmiseth 01
Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, meninggal dunia malam tadi. Kematiannya menimbulkan kesedihan seluruh negara, kes kematian penguatkuasa terbaru ketika menjalankan tugas selepas enam anggota bomba terbunuh dalam misi menyelamat beberapa bulan lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Disember, 2018.
Iklan

KETIKA seluruh negara berduka dengan berita kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, ahli politik negara dan rakyat Malaysia amnya menggunakan media sosial untuk meredakan bibit-bibit ketegangan kaum dan agama.

Adib, 24, daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dipukul perusuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November selepas diheret keluar daripada kenderaan bomba dinaikinya.

Ahad lalu, Adib menunjukkan petanda pulih daripada kecederaan parah di paru-paru yang menggalakkan sejak beberapa minggu lepas berada dalam keadaan kritikal.

Tetapi, beliau meninggal dunia malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN). Polis kini menyiasat kesnya sebagai kes bunuh.

Selepas pecah berita yang Adib meninggal, emosi memuncak di media sosial. Ramai yang menyalahkan pengurusan kuil dan penganut Hindu.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam catatan di Facebook menyalahkan kematian Adib ke atas “kumpulan pengganas”.

Catatan itu menggesa pihak berkuasa serta merta membawa “pengganas” ini ke muka pengadilan dan menghukum mereka sewajarnya.

Manakala, di Twitter, pengguna media sosial memulakan tanda pagar #justice4adib untuk menyatakan kesedihan mereka. 

Salah seorang pengguna, @mkhairulazri berkata pengurusan kuil perlu bertanggungjawab.

 

@azfar10zulkifli pula mendesak pihak yang mencederakan Adib sehingga parah dan meninggal di bawa ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, ketika amarah memuncak, ada juga cubaan mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan kematian Adib untuk mencetuskan bahang perkauman.

Presiden PKR Anwar Ibrahim misalnya menulis di Twitternya yang Adib adalah “hero yang membayar harga paling mahal ketika bertugas”.

Kuil di Seafield berusia 147 tahun jadi tumpuan negara selepas terheret dalam konflik perpindahan. Tanah tempat kuil itu berada adalah milik pemaju One City Development Sdn Bhd.

Syarikat sudah mendapatkan arahan mahkamah untuk memindahkan kuil itu ke sebuah lokasi lain- 2.7 km dari tapak sedia ada- tetapi mereka enggan berpindah.

Kemelut berubah jadi konflik kaum apabila hujung November lalu, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu dan menakut-nakutkan pengunjung kuil. Rusuhan berlangsung selama dua hari dan lebih 20 kenderaan dibakar.

Seorang pengguna Twitter, @ladymissazira pula mengingatkan rakyat Malaysia yang walaupun kemarahan dan kesedihan atas kematian Adib memuncak, rakyat perlu ingat yang lelaki muda itu “menawarkan dirinya untuk memastikan ketenangan dan keselamatan wujud untuk rakyat Malaysia”.

Manakala, @KMurthychettiar pula mengakui yang komuniti Hindu perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku ke atas Adib.

Beliau turut menekankan yang tragedi ini adalah pengajaran kepada komuniti Hindu supaya mengekang budaya gangster yang menular dalam komuniti itu. – 18 Disember, 2018.

Iklan
Iklan