Iklan

Amaran Rafizi mengenai Pakatan boleh diterima tetapi kaedah kajian diragui

Looi Sue-Chern6 years ago20th Dec 2018Berita
Rais hussin ppbm tminazirsufari 05
Dr Rais Hussin mempersoalkan metodologi kepada hasil kaji selidik disebutkan beliau yang mendapati berlaku penurunan pada kedudukan kepopularan Pakatan Harapan dan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2018.
Iklan

BEKAS ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ada masanya betul atau salah, kata ahli strategi Bersatu Dr Rais Hussin, selepas pemimpin PKR itu memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) mengenai kejatuhan kadar penerimaan, ketika cakap-cakap mengenai gabungan pemerintah akan menerima lebih banyak ahli Umno.

Rais berkata, kenyataan Rafizi boleh diambil sebagai isyarat amaran awal tetapi mempersoalkan metodologi kepada “kaji selidik” disebutkan beliau yang mendapati kadar penerimaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menurun hampir 20% dalam tempoh beberapa bulan lalu.

Kaji selidik dirujuk Rafizi “tidak jelas dan kabur”, kata Rais.

“Kadang-kala beliau betul, ada masanya salah seperti dapatannya terhadap PAS semasa pra-PRU14 ketika meramalkan ia tidak akan mendapat sebarang kerusi berdasarkan undiannya.”

Rais berkata kekuatan mana-mana penyelidikan atau undian adalah sangat bergantung kepada metodologi, kerana kadang-kala terdapat “penyelidikan berasaskan hasil” atau “hasil berasaskan penyelidikan”.

Rafizi yang mengetuai Invoke Malaysia, semalam berkata tahap penerimaan terhadap Dr Mahathir sebagai perdana menteri menjunam kepada 53% dalam tempoh enam bulan lalu, turun 19% daripada 72% pada Jun.

Katanya, penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kekecewaan rakyat dengan kegagalan kerajaan mengurangkan kos sara hidup dengan lebih tinggi dan memenuhi janji pilihan raya.

Rafizi juga memberitahu PH agar menghentikan penglibatan dalam pembelotan ahli Parlimen Umno untuk meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap perikatan yang memerintah, kerana ia boleh menyebabkan penyokong Melayu atas pagar beralih kepada PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Rais mengakui keperluan PH untuk memberi tumpuan kepada ekonomi dan memastikan dasarnya betul, dan berpuas hati dengan pencapaiannya sekarang. – 20 Disember, 2018.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan