Iklan

Jualan sambutan Krismas hambar tahun ini

Pg xmasshopping loh-5649
Kemeriahan sambutan Krismas masih dirasai di pusat beli-belah yang tetap meriah dengan perhiasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 21 Disember, 2018
Iklan

TAHUN ini, Vicknesh Shanmuganatham tidak akan membeli hadiah Krismas untuk ahli keluarga yang berusia 15 tahun ke atas. Hadiah yang dibeli hanya untuk anaknya sendiri, beberapa anak saudara da sepupu rapat saja. 

“Tahun lalu saya belikan beberapa hadiah untuk adik beradik dan ahli keluarga dewasa. Tetapi tahun ini, saya hanya belikan untuk anak-anak. Kami masih dalam bajet yang ketat,” katanya yang berasal dari Klang dan mempunyai dua anak.

Empat keluarga yang ditemui The Malaysian Insight turut mengenakan bajet ketat untuk Krismas, sama seperti Vicknesh. Mereka yang ditemu bual berasal dari Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Krismas akan diraikan pada minggu depan.

Seperti Vicknesh, mereka menyatakan tidak akan berbelanja lebih kerana harga barangan makanan, pakaian, mainan dan perhiasan masih tinggi walaupun tiada lagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). 

Bagaimanapun, suasana sambutan lebih banyak di kalangan pusat membeli-belah, kedai dan peniaga, yang mengatakan mereka menjangkakan untuk melihat sedikit peningkatan jualan musim ini berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, peniaga lain turut bimbang dengan persaingan dari peruncit dalam talian.

“Umumnya, kita melihat perkembangan posittif daripada pembeli tahun ini di pusat membeli belah Queensbay Mall (di Pulau Pinang),” kata penolong pengurusnya Lee Sue Ling. 

“Dari Januari hingga November 2018, jumlah pembeli mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun. Sebagai tambahan, perhiasan kami untuk sambutan perayaan, terutamanya bagi Krismas dan Tahun Baru Cina terus menarik perhatian ramai,” kata Lee. 

Ada GST atau tidak, harga masih mahal 

Ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan persekutuan, ia melupuskan GST yang mengenakan cukai 6% kepada hampir kesemua barangan kecuali 900 barangan yang dikecualikan, kebanyakannya adalah barangan makanan segar.

Kerajaan melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan kepada pengilang, pengimport dan beberapa perkhidmatan. 

Kerajaan mendakwa Indeks Harga Pengguna (CPI), satu langkah inflasi, hanya 1.2% dari Januari hingga September, lebih rendah daripada 3.9% pada tempoh sama tahun lalu ketika Barisan Nasional berkuasa. 

Namun pengguna seperti Aaron Ngui dari Pulau Pinang, tidak melihat perbezaan harga antara tahun ini dan tahun lalu. 

“Saya rasa sama saja. Ia hanya keluaran bermusim. Jika sesuatu barangan dalam musim, ia pasti murah berbanding bukan musimnya,” kata perunding berusia 35 tahun yang memiliki dua anak itu.

Kebanyakan pengunjung kompleks membeli-belah hanya bersiar-siar tanpa membeli apa-apa barangan kerana saingan daripada peruncit dalam talian. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 21 Disember, 2018

“Saya rasa, perbelanjaan saya sama saja. Hanya tetapkan bajet dan ikut. Ia adalah bagaimana bajet dibelanjakan. Sebagai contoh, RM500 untuk semuanya, termasuk hadiah dan keperluan seperti makanan.”

Bapa kepada dua anak, Kam Kung Yun dari Kota Kinabalu berkata keluarganya tidak berbelanja besar untuk Krismas. 

“Saya hanya benarkan seorang anak saya ambil bahagian dalam bertukar hadiah di sekolah. Ia tidak melebihi RM50. Guru kelas tetapkan antara RM20 dan RM30 untuk setiap hadiah.”

Bagi Sally George, 42, dari Sarawak, sebaliknya percaya pada penekanan aspek rohani dan keluarga pada perayaan itu.

“Tiba masanya untuk mendidik anak lelaki saya dengan agama dan kepentingan sambutan Krismas. Ia bukan hanya membeli baju dan kasut baharu,” katanya.

“Membeli pakaian baharu, kasut atau perabot tidak pernah menjadi keutamaan keluarga ini. Kami hanya beli makanan dan minuman untuk rumah terbuka.”

Peniaga gembira

Tim Lee dari Joeyness Floral Design berkata syarikatnya menjangkakan keuntungan dan jualan lebih baik tahun ini berbandng tahun lalu kerana pemansuhan GST.

“Kami dikenakan GST oleh pembekal tetapi kami tidak booleh abaikan caj tambahan kepada pelanggan kami,” kata pengurus perniagaan di pusat beli-belah Bukit Tinggi di Klang. 

“Jadi kami serapkannya. Tahun ini, kami tidak perlu bayar, jadi kami jangkakan jualan lebih baik,” kata Lee, yang menjual bunga segar, permainan dan menyediakan perkhidmatan membalut hadiah. 

Jameson Yap dari rangkaian SnJ Gift Store berkata beliau melihat peningkatan jualan bermula November untuk pokok Krismas dan perhiasan. 

“Ia agak bagus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini masa di mana syarikat biasanya akan membeli perhiasan untuk pejabat mereka,” kata Yap yang mengasaskan rangkaian perniagaan yang memiliki 11 kedai di seluruh negara.

“Ketika era GST, jualan kami menurun 10% hingga 15% di seluruh kedai. Jadi kami positif untuk mendapatkan semula kerugian jualan itu tahun ini.”

Di pusat beli-belah Karamunsing di Kota Kinabalu, penyelia kedai Melissa Melly berkata perniagaannya kekal kukuh tahun ini. 

“GST atau tanpa GST, dan kini SST, orang ramai tetap datang ke kedai kami. Kebanyakan barangan yang dijual di kedai kami berharga RM50 ke bawah. Apabila SST dilaksanakan, hampir semua harga barangan turun,” katanya.

Sebagai contoh, sepaket pelekat berkilau berharga RM4.23 termasuk GST, tetapi harganya turun kepada RM3.99.

Namun tidak semua peniaga merasakan suasana perayaan. Luther Chu yang menjual gajet dan aksesori komputer di Kota Kinabalu mengesyaki penurunan jualan berpunca daripada peningkatan populariti perniagaan dalam talian. 

“Kira-kira 10 tahun lalu, saya mampu menjual 50 telefon pintar dalam sehari pada waktu ini, tidak termasuk komputer atau komputer riba. 

“Sejak lima minggu lalu, lihatlah sekeliling, tidak ramai orang datang. Kebanyakan memilih untuk bersiar-siar dan tidak membeli apa-apa. Pasaran digital kekal kukuh tetapi tidak ramai yang datang ke kedai terus kini,” katanya. – 21 Disember, 2018

Iklan
Iklan