Harga telur stabil, bekalan cukup, kata timbalan menteri
Iklan
HARGA telur kini kembali stabil dan cukup bekalan untuk perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina pada Februari depan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.
Sim juga menjelaskan kenaikan harga telur baru-baru ini adalah disebabkan penutupan sementara sebuah ladang di Perak kerana ayam-ayam disyaki dijangkiti selesema burung.
“Ladang itu dikenakan larangan sementara, tidak dibenarkan menjual telur sementara pemeriksaan dijalankan. Jadi, ini menyebabkan bekalan telur kurang di pasaran dan mencetuskan pembelian panik oleh sesetengah pengedar.
“Tetapi ladang itu sekarang sudah bebas penyakit. Tiada wabak di sana, jadi operasi berjalan seperti biasa. Bekalan telur juga sudah kembali normal.
“Kita ada bekalan yang mencukupi untuk Krismas dan Tahun Baru Cina. Itu berita baik untuk semua orang. Tiada lagi kenaikan harga telur,” Sim memberitahu pemberita selepas melawat sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Changkat Daim di Nibong Tebal hari ini.
Katanya, Malaysia tidak perlu mengimport telur jika menghadapi masalah sama pada masa depan kerana ladang di negara ini mampu menghasilkan telur yang mencukupi.
“Kita juga boleh teruskan mengeksport ke Hong Kong, Maldives dan Dubai.”
Beliau juga berkata Malaysia kekal sebagai salah sebuah pengeluar telur dan ayam yang efisien di rantau ini dan telah berjaya mengekalkan harga yang stabil.
Baru-baru ini, harga telur naik mendadak hampir 30% dalam tempoh seminggu. Harga bagi 10 biji telur dilaporkan mencecah RM5.11 berbanding bawah RM4 pada minggu sebelumnya.
Jumlah penggunaan telur di negara ini tinggi, dengan 30 juta hingga 34 juta pengambilan setiap hari. Secara purata, seorang rakyat Malaysia makan 400 telur dalam setahun.
Walaupun masalah bekalan akan selesai apabila ladang ternakan ayam di Perak dibuka semula, Sim bagaimanapun berkata pemilik-pemilik ladang menghadapi masalah untuk mengekalkan perniagaan mereka.
Di Pulau Pinang katanya, bilangan ladang ternakan ayam yang mengeluarkan telur menurun sejak dua tahun kebelakangan.
Hanya 79 ladang yang masih beroperasi di negeri itu, berbanding 98 ladang pada 2016. Ini menyebabkan jumlah ayam yang menghasilkan telur berkurangan daripada 1.87 juta kepada 1.46 juta ekor. – 21 Disember, 2018.