Program bank makanan atasi masalah pembaziran, kata PM
Iklan
PROGRAM Food Bank Malaysia yang dilancarkan di Pulau Pinang pagi tadi, akan membantu kerajaan menangani masalah pembaziran makanan dan kos sara hidup yang tinggi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berkata kerajaan telahpun mencari kaedah terbaik untuk menangani masalah ini.
Menurut Dr Mahathir, program yang akan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah inisiatif tepat dalam memenuhi objektif kerajaan.
“Masalah pembaziran makanan ini bukan perkara baru di Malaysia. Sedar atau tidak, rakyat Malaysia menghasilkan 15,000 tan makanan setiap hari. Daripada jumlah ini, 3,000 tan dibazirkan.
“Jika 3,000 tan makanan ini diagihkan, ia akan memberi manfaat kepada hampir dua juta orang. Makanan lebihan ini mungkin nampak tiada nilai, tetapi ia memberi banyak makna kepada mereka yang memerlukan.
“Usaha mengatasi masalah pembaziran makanan harus diberi perhatian untuk memastikan rakyat mendapat makanan. Inisiatif seperti ini juga akan membantu menyelesaikan masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Apabila mereka mendapat bantuan makanan, mereka boleh kurangkan perbelanjaan harian dan gunakan duit itu untuk keperluan lain seperti kesihatan dan pendidikan,” kata Dr Mahathir. – 22 Disember, 2018.