Kementerian masih siasat penglibatan 'kartel telur'
Iklan
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna masih lagi menyiasat jika kenaikan harga telur baru-baru ini disebabkan penglibatan kartel telur.
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai perkara itu masih berjalan.
“Mereka sedang menyiasat dan akan melaporkan kepada saya dari masa ke semasa sama ada wujud penglibatan kartel dalam perniagaan telur ayam.
“Mereka juga akan menyiasat jika terdapat elemen pembahagian wilayah atau bentuk manipulasi lain,” kata beliau pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
Harga telur ayam barubaru ini naik mendadak hampir 30% dalam tempoh seminggu. Harga bagi 10 biji telur dilaporkan mencecah RM5.11 berbanding tidak sampai RM4 pada minggu sebelumnya.
Awal minggu ini, Saifuddin dilaporkan berkata kementerian sedang memantau rantaian bekalan bagi menentukan sama ada kenaikan harga telur disebabkan oleh kartel.
Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata harga telur kini stabil dengan bekalan sudah kembali seperti biasa.
Kenaikan harga telur katanya, berpunca dari penutupan sebuah ladang ayam di Perak yang disyaki dijankiti selesema burung sehingga mencetuskan pembelian panik oleh beberapa pengedar telur.
Bagaimanapun, ladang itu sudah kembali beroperasi. – 22 Disember, 2018.