Iklan

Sektor PKS perlu ambil peluang perang perdagangan AS-China

Bernard Saw6 years ago23rd Dec 2018Berita
Forum perniagaan mcff FB
Dewan Perniagaan Malaysia-Foshan giat mengadakan forum perniagaan bersama usahawan PKS di seluruh negara bagi membuka peluang kepada industri itu merebut peluang yang lebih besar. – Gambar Facebook, 23 Disember, 2018.
Iklan

SEBUAH persatuan perniagaan menggesa perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk meningkatkan usaha masing-masing susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dewan Perniagaan Malaysia-Foshan (MFCC) berkata pihaknya bimbang usahawan PKS tempatan tidak bersungguh-sungguh mengambil peluang walaupun sudah menyesuaikan diri dengan cara perniagaan China.

Presiden MFCC David Yeat Sew Chuong berkata pasaran kini sangat luas tetapi usahawan PKS Malaysia tidak agresif mengambil peluang.

“Kita membawa lebih 100 pelabur (pada Julai) tetapi amat dikesali apabila segelintir usahawan PKS bertanya kepada kami untuk membawa pelabur itu ke Pulau Pinang atau Sabah, bukan sebaliknya,” kata David.

Beliau turut merungut dengan sikap usahawan tersebut yang mengikut cara sendiri dan masih ketinggalan di belakang walaupun kerajaan sudah menghulurkan bantuan.

“Kita membawa pelabur dari luar ke Malaysia. Kenapa mereka (usahawan PKS) tidak boleh datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang,” soal David.

Beliau berkata sikap sedemikian tidak akan membantu mereka, dan jika pelabur China memberi peluang pembangunan dalam sektor itu kepada negara Asean yang lain, Malaysia akan kerugian.

“Dan kita tidak boleh menyalahkan orang lain, tetapi diri sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Yap berkata MFCC mahu membantu secara percuma dalam memastikan usahawan tempatan melangkah lebih jauh sebelum PKS dari China memasuki pasaran Malaysia.

Katanya industri PKS tidak mampu bertahan lama jika mereka tidak berani mengambil risiko.

David berkata MFCC mengadakan persidangan perniagaan kali pertama pada Julai tahun ini dan akan menganjurkan program sama pada April 2019, dengan harapan meningkatkan jumlah pelabur China di Malaysia.

Beliau meletakkan sasaran dari 100 kepada 350 pelabur untuk membolehkan 400 syarikat Malaysia mengambil peluang perniagaan yang dibawa masuk ke negara ini. – 23 Disember, 2018.

Berita penuh di sini. 
 

Iklan
Iklan