Iklan

Lawatan ke White House hanya untuk naikkan imej Najib, kata penganalisis

Sharon Tan7 years ago24th Aug 2017Berita
Najib razak lim guan eng 20170817 hasnoor 003
Lawatan Najib ke Amerika Syarikat juga akan mencetus spekulasi akan adanya perbincangan Najib dan Trump tentang siasatan DoJ terhadap 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2017.
Iklan

LAWATAN Perdana Menteri Najib Razak ke White House tidak akan memberi rangsangan imej yang besar ke atas dirinya kecuali kegilaan media tempatan, kata pemerhati. 

Malah Najib berkemungkinan besar pulang dengan tangan kosong.

Penganalisis dan seorang ahli politik bersetuju lawatan itu akan menarik sedikit minat, dan Amerika Syarikat (AS) akan mendapatkan sedikit bantuan dari Malaysia, namun akan ada sedikit kesan kekal untuk meningkatkan imej Najib menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Mereka mengaitkan hal ini dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan, beliau tidak nampak lawatan itu akan meningkatkan imej Najib menjelang PRU14 atau apa yang boleh Malaysia perolehi melalui pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

“Trump bukannya jenis orang yang mahu dikaitkan dengannya oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Jadi, lawatan ini tidak mungkin akan menjana penambahbaikan yang signifikan terhadap bagaimana Najib dipandang di negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebaliknya, Wan Saiful berkata ia hanya akan mencetuskan spekulasi yang Najib akan menggunakan pertemuan ini untuk berbincang mengenai siasatan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berkenaan dana yang dicuri daripada 1MDB, yang melibatkan salah seorang ahli keluarganya.

Sudah tentu orang akan menuduh Najib ke sana untuk meminta bantuan, walaupun itu bukan niatnya.

“Ia akan menjadi masalah sekiranya DoJ tiba-tiba berlembut dengan pendiriannya selepas pertemuan itu kerana akan ada yang mendakwa Najib dan Trump secara diam-diam membuat beberapa rundingan,” kata Wan Saiful.

Seorang lagi penganalisis, James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania bagaimanapun tidak fikir kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan hal berkaitan 1MDB.

“DoJ telah memfailkan tindakan undang-undang berkenaan perkara ini dan tidak mungkin hal itu akan dibincangkan,” kata Chin, sambil menambah Trump mungkin akan menggunakan peluang ini untuk menunjukkan yang AS komited dengan Asia Tenggara, memandangkan China semakin meningkatkan kehadirannya di Laut China Selatan. 

Chin berkata lawatan itu masih boleh dianggap sebagai satu tindakan yang bagus untuk imej Najib.

“Selama ini, pembangkang mengatakan yang Najib adalah seorang pemimpin kleptokrat dan pentadbiran As tidak akan bertemu dengannya.

“Sekarang Najib boleh mengatakan yang pembangkang silap,” kata Chin. Dia juga berkata menerusi lawatan ini, Najib mungkin akan mendapat lebih banyak faedah daripada segi pendedahan, memandangkan Malaysia tidak cukup dikenali di kalangan rakyat AS.

Najib akan menjadi pemimpin Asia keempat untuk bertemu Trump yang tidak sampai lapan bulan mentadbir AS.

Sebelum ini Trump telah bertemu Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc di White House pada Mei lalu. Pada Julai, Trump bertemu Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong  dan Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo di luar sidang kemuncak G-20.

Pembangkang bagaimanapun percaya pertemuan Najib dan Trump yang diselubungi bayang-bayang 1MDB akan mempengaruhi sebarang potensi keuntungan yang mungkin diperolehi.

Presiden Trump tidak akan dapat menghalang siasatan terhadap skandalnya sendiri atau memaksa Kongres dan Mahkamah Agung untuk menerima arahannya. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2017.

Tony Pua dari DAP berkata Najib akan mencuba menggunakan lawatan itu untuk menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB serta siasatan DoJ tetapi ia akan menjadi tugas yang berat disebabkan kebebasan institusi-institusi AS.

“Tidak seperti di Malaysia, institusi politik dan undang-undang AS kurang mendapat campur tangan luar, malah daripada orang yang paling berkuasa di sana.

“Presiden Trump tidak akan dapat menghalang siasatan terhadap skandalnya sendiri atau memaksa Kongres dan Mahkamah Agung untuk menerima arahannya, termasuk mempengaruhi hal-ehwal politik negara luar seperti Malaysia,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

DoJ melancarkan siasatan jenayah ke atas dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Jabatan itu baru-baru ini cuba menangguhkan saman sivil yang difailkan dalam tempoh dua tahun bagi merampas hartanah dan aset-aset lain bernilai AS$1 bilion  (RM4.3 bilion) supaya siasatan jenayah itu dapat diteruskan.

Dalam kes saman sivil itu, DoJ mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion milik 1MDB diselewengkan oleh pegawai atasan syarikat pelaburan itu dan sekutunya pada 2009 dan 2015.

Pada Jun, DoJ memfailkan saman lain untuk merampas aset-aset bernilai AS$540 juta termasuk kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta milik Low Taek Jho atau Jho Low, dan hak penerbitan filem “Dumb and Dumber To” terbitan Red Granite, syarikat penerbitan milik bersama anak tiri Najib, Riza Aziz.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata dengan bayang-bayang 1MDB yang mengekori Najib, tiada apa yang akan diperolehi melalui pertemuan dengan Trump itu.

“Semua usaha untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap Najib menjelang pilihan raya adalah sia-sia,” katanya. – 24 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan