Iklan

Jangan cemari kejayaan gemilang Malaysia di Sukan Sea KL

The Malaysian Insight7 years ago24th Aug 2017Editorial
Kuala lumpur sea games 2017 day 3 03
Atlet Malaysia sedang melakar sejarah dan inilah masanya untuk kita bangkit bersama sebagai sebuah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2017.
Iklan

SECARA rasminya, sudah masuk hari kelima Sukan Sea Ke-29 Kuala Lumpur 2017 berlangsung dan Malaysia sudah berjaya melepasi separuh daripada sasaran 111 pingat emasnya. Negara kini sudah meraih 57 pingat emas ketika masih ada baki enam hari kejohanan sukan serantau itu diadakan.

Sukan Sea Ke-29 di Kuala Lumpur seolah menjadi medan tebus maruah kepada atlet Malaysia yang sekian lama diselubungi prestasi buruk.

Pujian perlu diberikan kepada pelbagai persatuan sukan, atlet serta keterujaan dan galakan yang pantas merebak dalam kalangan mereka yang diberikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sampai ada yang menggelarkan kejohanan ini sebagai Sukan Sea KJ dan bukannya Sukan Sea KL.

Ketua Pemuda Umno itu nampaknya lebih popular di luar parti dan dalam kalangan orang muda Malaysia, dan nampaknya kejayaan berterusannya di Sukan Sea KL semakin menambah popularitinya walaupun beliau masih menjadi sasaran ejekan dan dengkian banyak “pihak berkuasa” dalam negara ini, termasuklah dalam Umno sendiri.

Di pelbagai acara, peminatnya menunggu dan menjerit namanya tetapi seperti mana cabaran perlawanan polo yang dilontarkan Sultan Johor, tidak semua mengagumi KJ walaupun beliau sendiri terlibat dalam kejohanan itu mewakili negara dalam sukan polo.

Ada yang berpendapat beliau “lebih sudu daripada kuah” apabila membawa raja pecut Asia Tenggara yang memenangi acara 100 meter Sukan Sea KL, Khairul Hafiz Jantan untuk bertemu Perdana Menteri Najib Razak dan VIP lain yang menonton pertandingan akhir olahraga itu.

Mungkin juga ia berpunca daripada keghairahan dan kemeriahan kemenangan kerana selepas Sukan Sea 2001 Malaysia jarang sekali melihat kemilau emas dalam genggaman. Terlalu banyak yang perlu diraikan walaupun baru lima hari kejohanan berlangsung.

Sejak hari pertama sehinggalah majlis penutup Sukan Sea KL pada 30 Ogos nanti, kejohanan ini adalah tentang Malaysia dan rakyatnya, bukan dicemari dengan dengki dan hasad, cabar-mencabar atau kejadian yang tidak melambangkan semangat kesukanan yang mencemarkan kemeriahan temasya hasil titik peluh atlet dan pasukan sukan kita.

Sukan Sea KL adalah soal bangkit bersama, sama ada bersama Malaysia atau bersama Asean yang menyambut ulang tahun ke-50 persatuan kejiranan ini.

Ia bukan soal merendahkan satu sama lain atau melunaskan dendam lama atau mewujudkan kemuraman yang mengaburi detik-detik gemilang bersama ini.

Pujian perlu diberikan kepada yang layak. Atlet Malaysia yang terdiri daripada Sultan dan Raja, menteri serta atlet terhebat negara sedang melakukan yang terbaik demi Malaysia dan rakyat negara ini.

Jangan remehkan detik gemilang mereka ini. – 24 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan