Apa yang sebenarnya berlaku dalam PKR?
Iklan
PKR kini bergolak selepas Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali secara terbuka mempertikaikan keputusan Presiden Anwar Ibrahim menamakan beberapa pemimpin ke Majlis Pimpinan Pusat parti itu.
Azmin semalam mengeluarkan kenyataan meminta Anwar meneliti semula keputusannya, yang dibuat mengikut kuasa presiden seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
Pelantikan oleh Anwar itu beliau sifatkan sebagai tidak mencerminkan kehendak ahli parti dan tidak akan membantu parti untuk maju.
The Malaysian Insight mengimbas episod yang membawa kepada pelantikan yang dipertikaikan itu serta pelbagai reaksi susulannya.
Kenapa Azmin bantah pelantikan dibuat Anwar?
Azmin membingkaikan bantahannya pada pengurusan pemilihan parti yang berlangsung antara Julai dan November lalu yang tercemar dengan beberapa insiden memalukan.
Sepanjang pemilihan itu, PKR terbelah dua antara kem yang mendukung Azmin dan Rafizi Ramli yang mencabar kedudukannya sebagai timbalan presiden.
“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” kata Azmin.
Timbalan presiden sejak 2010 itu menuding secara khusus kepada Saifuddin Nasution yang dikekalkan oleh Anwar sebagai setiausaha agung. Beliau membayangkan Saifuddin tidak profesional dan tiada wibawa.
Beberapa nama yang diangkat Anwar ke MPP sebenarnya adalah juga mereka yang mendukung Rafizi, ketika suara akar umbi memilih majoriti penyokong Azmin ke jawatan ke badan eksekutif parti.
Apa berlaku semasa pemilihan PKR?
Pemilihan parti yang dijalankan secara berperingkat mengikut negeri tercemar dengan dakwaan sabotaj antara lawan, selain sistem undian elektronik yang tidak lancar.
Pengundian di beberapa negeri seperti Kedah, Melaka dan Sabah misalnya terpaksa ditangguhkan dan diadakan semula melibatkan beberapa cabang.
Pemilihan itu juga jadi pertikaian kerana ada sejumlah undi ragu melibatkan pendaftaran ahli yang tidak jelas, antaranya mereka yang mendakwa ahli tetapi tiada nama tersenarai dalam daftar ahli layak memilih.
PKR mencatatkan pertambahan ahli sehingga 70% selepas Pilihan Raya Umum ke-14, dengan cabang Julau di Sarawak bertambah ahlinya lebih kurang 13,000 orang.
Pemilihan PKR di beberapa cabang di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak mencetuskan kontroversi hangat apabila berlaku pergaduhan antara penyokong calon.
Siapa anggota MPP?
Selain jawatan yang dipilih semasa pemilihan parti iaitu presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 ahli MPP, jawatan-jawatan lain adalah lantikan.
Mereka yang dilantik ialah tiga naib presiden termasuk masing-masing seorang dari Sabah dan Sarawak, setiausaha agung, bendahari, pengerusi bagi setiap negeri dan tujuh ahli MPP.
Sebelum bantahan Azmin semalam, pimpinan PKR di beberapa negeri juga membantah pelantikan ketua negeri yang dipilih Anwar.
Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang juga dipertikaikan atas alasan neoptisme dan kronisme, kerana beliau anak Anwar.
Sehari selepas pengumuman pelantikannya, Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh letak jawatan, termasuk jawatan naib presiden walaupun menang pemilihan dengan undi terbanyak.
Apa reaksi Anwar terhadap bantahan Azmin?
Anwar mempertahankan keputusannya dengan alasan beliau mahu melibatkan semua pihak dalam barisan kepimpinannya. Beliau mendakwa Azmin sebaliknya mahu mengetepikan beberapa nama.
“Saya mahu (lantikan itu) inklusif. Dia (Azmin) hendak beberapa orang tidak disenaraikan. Saya mahu semua orang masuk,” kata Anwar.
“Kita tidak boleh nafikan ada keperluan untuk melibatkan semua orang. Saya ambil mereka daripada kumpulan dia (Azmin) dan kumpulan Rafizi,” tambahnya.
Anwar juga menegaskan tidak akan menyemak balik pelantikan yang beliau umum pada Jumaat, seperti yang digesa Azmin, kerana “tiada keperluan untuk berbuat demikian”.
Malah beliau menjelaskan nama-nama yang beliau lantik merangkumi penyokong Azmin dan Rafizi.
Apa reaksi pemimpin PKR lain?
Bekas presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan tindakan Anwar, yang juga suaminya. Kuasa lantikan adalah hak presiden, katanya, merujuk pada peruntukan perlembagaan parti.
Beliau juga menyifatkan Rafizi ada suara akar umbi kerana kalah pemilihan parti dengan undi yang kecil kepada Azmin.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir juga senada apabila berkata keputusan Anwar tidak boleh dipertikaikan kerana sudah mengambil kira pandangan pimpinan tinggi MPP yang mewakili akar umbi.
Akmal juga mengingatkan Azmin akan kenyataan yang dibuat timbalan presiden itu semasa kongres parti November lalu, tiada masalah bekerjasama dengan Anwar dan Rafizi demi parti dan agenda reformasi.
Kongres PKR itu pada suatu ketika jadi perhatian apabila Azmin dan Rafizi berpelukan di pentas selepas seorang perwakilan menggesa kedua-dua kem itu menghentikan perbalahan dan membuktikan kesetiaan pada parti.
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak juga mempertahankan keputusan Anwar dan menyifatkan semua yang dilantik sebagai rakan seperjuangan dalam parti.
Namun ada juga yang terbuka menyokong kenyataan Azmin mahu pelantikan itu diteliti semula, antaranya Ketua Wanita, Haniza Talha serta dua naib presiden sayap pemuda dan wanita.
Bagaimana Anwar dan Azmin selepas ini?
Hubungan antara Anwar dan Azmin kini lebih jelas dilihat terjejas apabila kedua-duanya tegas dengan pendirian masing-masing.
Anwar menjelaskan beliau menghargai kritikan namun menasihati timbalannya supaya jadi contoh baik kepada ahli parti dengan menggunakan saluran komunikasi yang betul.
“Nasihat saya kepada dia, guna saluran yang betul, jadi contoh yang baik. Bawa ke dalam mesyuarat,” katanya.
Semalam, Anwar juga mengeluh di Twitter tentang sikap sesetengah pihak yang lebih sibuk berpolitik daripada memberi perhatian kepada soal ekonomi – kenyataan yang dibaca ditujukan kepada Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi di Putrajaya.
“Kalaulah sesetengah orang lebih fokus untuk mengembangkan ekonomi, dan kurang berpolitik…,” tulisnya. – 30 Disember, 2018.
If only some people focused more on growing the economy, and less on politicking…
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) December 29, 2018