Iklan

Malaysia hadapi risiko pelaburan China

Sharon TanNoel Achariam7 years ago25th Aug 2017Berita
Nurul izzah  mahathir tminazirsufari 08
Pengarah Institut Rakyat Nurul Izzah Anwar bercakap sesuatu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada forum mengenai pelaburan China di Malaysia, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.
Iklan

MALAYSIA bakal berdepan risiko ekonomi yang tinggi kesan hutang besar negara daripada projek mega yang sedang dibiayai oleh bank dari China, kata Institut Rakyat, sebuah badan pemikir PKR, dalam satu kertas dasarnya mengenai pelaburan dari China.

Pengarah Institut Rakyat, Nurul Izzah Anwar yang membentangkan kertas itu dalam sebuah forum malam tadi, berkata hutang Malaysia “sudah diketahui umum”, dengan tanggungan kerajaan persekutuan, menurut Bank Negara Malaysia, kini mencecah RM685 bilion pada suku kedua 2017.

“Dengan melibatkan diri dalam beberapa projek mega, kerajaan Malaysia mungkin akan menyusahkan rakyat dalam jangka masa panjang kerana projek ini dibiayai dengan pinjaman mudah dari bank China yang mesti dibayar dengan faedah,” katanya.

Orang ramai mendengar pembentangan kertas kerja oleh Pengarah Institut Rakyat Nurul Izzah Anwar pada forum mengenai pelaburan China di Malaysia, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.

Beliau bercakap pada forum mengenai pelaburan China di Malaysia anjuran Institut Pemikir di Kuala Lumpur, malam tadi.

Kertas yang dibentangkannya itu menyebut China Development Bank, China EximBank dan Agricultural Development Bank of China sebagai antara peminjam berkenaan.

Nurul yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata Malaysia harus mempertimbangkan pelaksanaan kawalan modal di China baru-baru ini bertujuan memperlahankan pengaliran wang keluar dari republik itu.

“Banyak projek yang sedang dirancang bergantung kepada pembiayaan dari China,” katanya, dan menambah ada kemungkinan projek itu akan tertangguh.

“Oleh itu, risiko Malaysia berhutang dengan China atau gagal menyiapkan projek adalah mustahak dan perlu diperjelaskan,” katanya.

Pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dikritik kerana terlalu bergantung kepada dana dari China untuk projek mega seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) serta pelaburan China dalam projek besar termasuk Tun Razak Exchange dan Forest City di Johor.

Kumpulan pembela hak Melayu juga melahirkan kebimbangan Malaysia sedang menyerahkan kedaulatannya kepada China namun dinafikan oleh perdana menteri.

Perkara lain yang disentuh dalam kertas dasar itu termasuk kebimbangan sejauh mana projek berkenaan akan memindahkan teknologi dan pengetahuan kepada rakyat Malaysia.

“Tidak jelas sama ada rakyat Malaysia akan dapat pengetahuan baru atau apakah ada sekatan tentang apa yang boleh dikongsi,” kata Nurul Izzah.

Risiko lain yang mengancam Malaysia ialah penguasaan ekonomi China di lokasi strategik seperti Kuantan dan Melaka yang mempunyai pelabuhan di laluan utama di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Pengaruh China di lokasi strategik ini mungkin boleh menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara jiran,” katanya.

Profesor Jomo Kwame Sundram berkata masalah jika projek itu digunakan untuk mendapatkan pinjaman, beban hutangnya akan ditanggung oleh generasi masa depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.

Selain Nurul Izzah, forum itu menampilkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, profesor Jomo Kwame Sundram dan pengarah eksekutif Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Nurul Izzah juga menyuarakan kesukaran untuk mendapatkan maklumat tentang sebahagian projek China kerana ia tidak didedahkan. Beliau merujuk kepada projek pelabuhan di Bagan Datoh.

“Kita bercakap tentang pelbagai projek tetapi payah hendak dapat senarainya,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menekankan Pakatan Harapan bukannya anti China sebaliknya pro pelaburan. Bagaimanapun katanya, tidak ada mana-mana negara harus diberikan cek kosong apabila melabur di negara ini dan itu termasuk China yang merupakan rakan dagang utama Malaysia.

Jomo sementara itu mengulangi kebimbangan tentang kesan kawalan dana di China kepada projek di Malaysia yang dibiayai oleh bank negara itu.

Katanya, masalah akan timbul sekiranya projek ini digunakan untuk mendapatkan pinjaman yang beban hutangnya akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Beliau juga mempersoalkan apakah ekonomi Malaysia boleh tumbuh dengan bergantung kepada sektor perkhidmatan seperti kewangan, dan bertanya apakah itu yang disasarkan oleh negara sekarang. – 25 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan