Iklan

Isu Memali untuk pastikan BN menang PRU14, kata bekas menteri

Amin Iskandar7 years ago25th Aug 2017Berita
Sanusi junid tminazirsufari 090
Bekas setiausaha agung Umno Sanusi Junid berkata penyatuan semula politik antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim menimbulkan kebimbangan pemimpin BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.
Iklan

PERISTIWA Memali yang berlaku 32 tahun lalu dibangkitkan semula untuk menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan PAS pada PRU14 sekali gus memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa, kata seorang bekas pemimpin kanan Umno.

Bekas setiausaha agung Umno Sanusi Junid berkata penyatuan semula politik antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin BN, dan kebimbangan itu ditokok dengan kemungkinan PH dan PAS dapat bersetuju untuk kembali bekerjasama.

“Oleh itu tumpuan diberikan kepada Tragedi Memali untuk melagakan PAS dan Dr Mahathir,” kata Sanusi dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Dr Mahathir dan Anwar bermusuh selama hampir dua dekad selepas bekas perdana menteri itu memecat timbalannya pada September 1998 atas dakwaan moral, sebelum kedua-duanya menjalin kerjasama politik awal tahun ini.

Sanusi berkata jika PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir bekerjasama dengan PAS pada PRU14, ia akan dapat memastikan pertembungan satu lawan satu dengan BN yang diyakininya akan menguntungkan pembangkang.

Sanusi pernah berkhidmat dengan pelbagai kementerian sejak zaman perdana menteri ketiga, Hussein Onn. Ketika tragedi berdarah Memali berlaku pada 19 November, 1985 Sanusi merupakan menteri pembangunan negara dan luar bandar serta setiausaha agung Umno.

Peristiwa Memali dikatakan dibangkitkan semula untuk menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan PAS pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2017.

Sanusi berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang kini “mesra Umno” tersilap langkah apabila mengambil kesempatan menyalahkan Dr Mahathir selepas kekecohan berlaku semasa forum “Nothing To Hide 2.0”.

“Hadi tidak menyangka dengan membangkitkan peristiwa Memali, beliau secara tidak langsung mendedahkan kelemahan dirinya.

“Seperti yang dikatakan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor, suruhanjaya siasatan diraja hanya akan mendedahkan Hadi sebagai punca tragedi Memali,” katanya.

Peristiwa Memali membunuh pemimpin PAS setempat Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya bersama 13 pengikutnya yang bertahan menghalang polis menangkap guru mereka itu. Empat anggota polis turut terbunuh.

Susah kaitkan Dr Mahathir

Sanusi yang pernah menjadi timbalan menteri dalam negeri antara 1980 hingga 1981 berkata, mengikut tatacara bertindak (SOP) polis, untuk memulakan tembakan, pasukan keselamatan itu perlu mendapatkan kebenaran menteri dalam negeri.

Katanya, polis hanya boleh bertindak sekiranya mereka diserang terlebih dulu. Ketika tragedi Memali berlaku, Musa Hitam merupakan menteri dalam negeri.

“Menteri dalam negeri hanya boleh disalahkan jika beliau membenarkan polis memulakan tembakan.

“Pihak polis hanya boleh disalahkan jika terbukti mereka bertindak di luar peraturan,” kata Sanusi.

Sanusi Junid berkata sama ada Dr Mahathir Mohamad berada dalam negara atau tidak ketika peristiwa Memali berlaku bukan isu kerana keselamatan negara tanggungjawab menteri dalam negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2017.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz semalam berkata rakyat Malaysia wajar tahu apakah yang mendorong tindakan keras kerajaan ke atas penduduk di Memali.

“Kita tak minat nak ambil tahu punca kejadian, kita cuma berminat ke atas tindakan kerajaan menangani situasi itu.

“Kita nak tahu siapa yang beri arahan. Saya rasa Dr Mahathir perlu jawab,” katanya.

Sanusi berkata sama ada Dr Mahathir berada dalam negara atau tidak ketika peristiwa Memali berlaku bukanlah satu isu kerana keselamatan negara merupakan tanggungjawab menteri dalam negeri.

“Dr Mahathir tidak boleh membatalkan lawatannya ke China pada ketika itu kerana pihak luar negara akan menganggap Memali begitu mengancam Malaysia sehingga perdana menteri membatalkan lawatan itu.

“Lebih-lebih lagi apabila kejadian di Memali hampir sama dengan kejadian di Batu Pahat yang ditangani menteri dalam negeri pada ketika itu, Ghazali Shafie tanpa campur tangan perdana menteri,” katanya, yang ketika itu timbalan kepada Ghazali.

Sanusi merujuk kepada kes serangan “kumpulan Imam Mahdi”, sebuah gerakan ekstremis Islam di Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober, 1980.

Serangan itu mencederakan 25 orang terdiri daripada anggota polis, seorang wanita sarat mengandung, enam kakitangan awam balai polis tersebut, seorang budak pejabat dan dua orang awam yang sedang membuat laporan. – 25 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan