Iklan

Pakatan semak balik projek landasan keretapi jika menang PRU14, kata Dr M

Noel AchariamSharon Tan7 years ago25th Aug 2017Berita
Mahathir tminazirsufari 03
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata kebanyakan projek landasan kereta api yang akan dibina kerajaan membazir dan tidak perlu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Ogos, 2017.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) akan menyemak semula beberapa projek mega “yang tidak perlu” dan akan membebankan kewangan negara sekiranya ia mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu menyebut projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi KL-Singapura (HSR) bernilai RM60 bilion.

“Kebanyakan projek ini membazir dan tidak perlu. Kita perlu runding semula dan malah batalkan sebahagiannya dan membayar ganti rugi. Tetapi lebih baik bayar ganti rugi daripada menanggung pinjaman RM200 bilion, luar biasa besar ini yang sudah dibuat oleh kerajaan,” kata Dr Mahathir malam tadi.

Beliau bercakap pada forum mengenai kesan pelaburan China di Malaysia anjuran Institut Rakyat. Forum itu turut membariskan panel terdiri daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar; profesor Jomo Kwame Sundram dan pengarah eksekutif Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

“Kita akan ambil masa lebih 50 tahun untuk bayar hutang ini. Kita perlu tengok apakah kita boleh hentikan ECRL atau projek kereta api berkelajuan tinggi, yang tidak perlu,” kata Dr Mahathir.

Jomo bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa tidak masuk akal untuk ada ECRL.

“Adakah masuk akal bagi ECRL untuk mengangkut kargo 10 kali ganda berbanding kereta api KTMB? Tidak ada alasan untuk membawa muatan dengan kereta berkelajuan tinggi. Kenapa perlu ECRL apabila penduduk di Kelantan dan Terengganu tidak berulang alik untuk bekerja di Kuala Lumpur,” kata Jomo.

HSR akan menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura. Tender bagi projek ini dijangka akan dikeluarkan menjelang hujung tahun. China dan Jepun dikatakan antara pesaing utama untuk projek berkenaan.

ECRL pula bakal menghubungkan Gombak di Selangor dengan Kota Bharu di Kelantan, dan akan dibina dan dibiayai oleh syarikat China. Ia dijangka siap pada 2024.

Dr Mahathir berkata ada kemungkinan beliau akan memulakan satu industri baru automotif sekiranya pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

“Mungkin kita akan buat. Kita ada banyak jurutera yang baik yang sudah meninggalkan Proton dan saya fikir mereka boleh mulakan syarikat baru,” katanya.

Dr Mahathir berkata Proton bukanlah hanya sebuah syarikat yang mengeluarkan kereta nasional semata-mata tetapi pada masa sama menjana kemahiran kejuruteraan tempatan dan menghidupkan industri hiliran automotif.

DRB-Hicom Bhd menjual 49.9% pegangannya dalam Proton Holdings Bhd yang rugi kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely Holding) milik China.

Sebagai gantinya, Geely membeli seluruh pegangan dalam Lotus daripada Proton. Perjanjian itu dikatakan bernilai RM770 juta. – 25 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan