Iklan

Molek tangguh RCI Memali, tumpu isu 1MDB, kata bekas menteri

Amin Iskandar7 years ago25th Aug 2017Berita
Iklan

CADANGAN tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membongkar semula peristiwa Memali tidak lainhanyalah untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas jemaah menteri Dr Mahathir Mohamad semasa insiden itu berlaku 32 tahun lalu.

Sanusi Junid berkata atas alasan itu, beliau menyokong kenyataan Musa Hitam yang menggesa siasatan diraja itu, kalau hendak dibuat, ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum tidak lama lagi supaya proses keadilan itu tidak diperalatkan untuk “memancing undi”.

“Ini kenyataan terbijak pernah dikeluarkan oleh Tun Musa Hitam, saya sokong. Kalau nak buat RCI Memali, buat selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Lagipun kita semua tahu, ini dilakukan untuk alihkan perhatian rakyat daripada skandal 1MDB,” kata bekas menteri pertanian itu kepada The Malaysian Insight.

“Ini juga diharapkan oleh kerajaan supaya semua skandal, kecuaian dan kecurangan yang menyebabkan rakyat menderita hari ini dapat dilenyapkan dengan isu masa lampau.”

Musa dalam satu kenyataan pada Rabu mengalu-alukan penubuhan suruhanjaya diraja itu tetapi mengingatkan agar siasatan semula ke atas “tragedi hitam” yang membunuh 18 orang termasuk empat anggota polis itu, tidak jadi permainan bola politik.

“Saya yakin mana-mana pihak yang benar-benar serius dan jujur, serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding RCI ditangguhkan sehingga selesainya PRU14,” katanya.

Sanusi, setiausaha agung Umno antara 1984 hingga 1988, turut bersetuju dengan kenyataan bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor yang Presiden PAS Abdul Hadi Awang punca berlakunya tragedi Memali.

“Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November, 1985 bermula dengan Amanat Haji Hadi Awang di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April, 1981.

“Ucapan itu dilakukan Hadi 100 hari sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 16 Julai, 1981.

“Peristiwa Memali pula berlaku 1,586 hari atau 4 tahun 126 hari selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri,” kata Sanusi, yang pernah jadi menteri besar Kedah semasa era Dr Mahathir.

Sanusi berkata Amanat Hadi yang agak “ekstrem” itu berjaya mempengaruhi ahli PAS termasuk Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya dan pengikutnya sehingga berlakunya tragedi berdarah itu.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas presiden PAS mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa itu tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian “sekiranya ada permintaan”.

Kenyataan itu dialu-alukan PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris keluarga bertemu Zahid di Putrajaya.

Dua bekas ketua polis negara, Mohamed Hanif Omar dan Abdul Rahim Noor bagaimanapun mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan kes Memali yang dianggap sudah selesai. – 25 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan