Iklan

Aziz Sheikh Fadzir balik semula pengerusikan Utusan?

The Malaysian Insight6 years ago31st Dec 2018Berita
Abdul aziz sheikh fadzir fb
Sejak Ibrahim Yahya letak jawatan ketua pengarang kumpulan Utusan, usaha digerakkan oleh beberapa pihak untuk memanggil semula Abdul Aziz Sheikh Fadzir bagi menyambung pelan pemulihan Utusan yang dikatakan terganggu. – Gambar Facebook, 31 Disember, 2018..
Iklan

ABDUL Aziz Sheikh Fadzir sedang dipujuk untuk kembali jadi pengerusi Kumpulan Utusan Melayu Berhad, kata beberapa sumber, dua minggu selepas beliau letak jawatan, ketika syarikat media milik Umno itu terus bergelut dengan beban kos operasi dan hutang.

Utusan minggu ini sekali lagi gagal membayar gaji kakitangan mengikut masa, malah gagal juga membayar pampasan kepada lebih 700 bekas kakitangan yang berhenti sukarela akhir November lalu.

“Tetapi Aziz sendiri seperti keberatan untuk patah balik,” kata seorang sumber dalaman di Utusan.

The Malaysian Insight diberitahu oleh kakitangan, mereka masih belum menerima gaji bagi Disember yang sepatutnya dibayar semalam. 

Gaji mereka difahamkan akan dibayar sebelum 7 Januari, mengikut peruntukan Akta Pekerjaan 1955, kata sumber di syarikat akhbar itu.

Utusan minggu lalu juga gagal melunaskan pampasan pertama dua bulan gaji kepada lebih 700 kakitangannya yang berhenti melalui skim pemisahan sukarela (VSS) mulai 30 November lalu. 

Syarikat itu kini menanggung kos operasi dengan hasil daripada jualan aset  yang masih ditunggu pembayarannya daripada pembeli.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata Utusan boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal mematuhi perjanjian VSS dengan bekas kakitangannya.

Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.  

Ia pernah beberapa kali terlewat membayar gaji kakitangannya sepanjang 2018 sehingga kesatuan sekerja mengugut akan membuat piket

Bincang selesai masalah

The Malaysian Insight difahamkan Aziz memberi tempoh kepada Umno sehingga sebelum pertengahan Januari untuk membuat keputusan sama ada mahu patah balik atau tidak jadi pengerusi Utusan. 

Beliau bagaimanapun sudah memulakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menyelesaikan masalah dihadapi syarikat milik Umno itu.

Kelmarin, Aziz dilapor memendekkan cuti bersama keluarga di Eropah untuk pulang ke Malaysia membincangkan penyelesaian masalah kewangan Utusan.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, pelantikan semula Aziz sudah dipersetujui pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan. Umno memegang saham terbesar Utusan sebanyak 49.77%.

The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan penjelasan daripada Mohamad dan Aziz.

Bekas kakitangan Utusan yang mengambil VSS kecewa dan terpinga-pinga dengan keputusan Aziz letak jawatan selepas beliau menggerakkan pelan pemulihan kewangan syarikat sejak dilantik pengerusi pada pertengahan Julai lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

Petisyen untuk Aziz

Aziz pagi ini mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan di Utusan termasuk dari jabatan pengarang, strategi korporat, jualan dan pemasaran serta anak-anak syarikat. 

The Malaysian Insight juga difahamkan selain mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan di Utusan, Aziz juga pagi ini mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil bekas kakitangan yang mengambil VSS.

Sekumpulan kakitangan Utusan turut menggerakkan kempen petisyen kepada Aziz untuk kembali menerajui syarikat. Petisyen itu bakal diserahkan kepada bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu apabila beliau hadir ke mesyuarat di pejabat Utusan pagi ini.

Sementara itu, bekas kakitangan Utusan yang mengambil VSS kecewa dan terpinga-pinga dengan keputusan Aziz letak jawatan selepas beliau menggerakkan pelan pemulihan kewangan syarikat sejak dilantik pengerusi pada pertengahan Julai lalu.

Utusan berubah

Aziz dilantik pengerusi eksekutif Utusan pada Jun dan sebulan kemudian memangku jawatan ketua pengarang kumpulan selepas dua pengarang kanannya melepaskan jawatan dan bersara.

Semasa memangku jawatan ketua pengarang kumpulan, Aziz dilihat membuat perubahan pendekatan pemberitaan Utusan lebih bebas daripada belenggu Umno, langkah yang menggembirakan sesetengah kakitangan yang selama ini merungut tiada kebebasan media.

Mingguan Malaysia misalnya pada 4 November lalu mendesak bekas perdana menteri Najib Razak minta maaf pada rakyat kerana berbohong mengenai dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya. 

Utusan selama ini mempertahankan Najib sejak berita duit RM2.6 bilion itu terbongkar pada awal Julai 2015.

Pendekatan baru pemberitaan Utusan bagaimanapun mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pimpinan tinggi Umno, sehingga ada gerakan mahu mengekang pengaruh Aziz di bilik berita Utusan.

Aziz melepaskan jawatan pengerusi eksekutif Utusan pada 13 Disember, serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah urusan merangkap ketua pengarang kumpulan. Ibrahim bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi. 

Ibrahim bagaimanapun jadi ketua pengarang kumpulan Utusan paling singkat dalam sejarah akhbar itu apabila letak jawatan seminggu kemudian, tiga hari selepas Zahid menyerahkan tugas presiden Umno kepada Mohamad.

Sejak itu, usaha digerakkan oleh beberapa pihak untuk memanggil semula Aziz bagi menyambung pelan pemulihan Utusan yang dikatakan terganggu. – 31 Disember, 2018.

Iklan
Iklan