Populariti Zambry jadi masalah utama Pakatan di Perak
Iklan
KETIADAAN pemimpin berwibawa dan ketakutan orang Melayu kepada penguasaan DAP menjadi hambatan kepada Pakatan Harapan di Perak menjelang pilihan raya umum akan datang.
Inilah yang disuara oleh pelbagai pihak kepada The Malaysian Insight ketika berkunjung ke Perak minggu lalu.
Kegagalan untuk menyelesaikan dua isu ini bakal membenamkan harapan pembangkang untuk mengambil alih semula Perak selepas pernah menang pada tahun 2008, namun jatuh selepas 11 bulan memerintah.
Ketika PH bergelut untuk menyelesaikan masalah kepimpinan itu, Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir pula mendapat pujian dan sokongan meluas dari rakyat Perak.
“Dia bergerak dalam senyap tetapi mencengkam ke akar umbi,” kata
Afandi Ahmad yang kini aktif bekerja untuk membantu calon PSM di Parlimen Cameron Highland.
Beliau memberikan contoh kebersihan bandaraya Ipoh dan pembangunan di Aman Jaya sebagai kejayaan Zambry dalam memajukan Perak secara diam-diam tanpa banyak publisiti media tetapi rakyat dapat merasai dan melihatnya.
“Saya pernah uruskan satu demonstrasi membantah Zambry kerana satu tapak tanah di tengah bandaraya Ipoh. Orang ramai bukan sokong saya, mereka kutuk pula saya kerana membuat demo itu,” kata Afandi yang bertugas di bilik gerakan PKR dalam PRU 13 lalu.
Menurut Nazri Din, seorang bekas petugas bilik gerakan PAS Perak, kajian yang mereka buat menunjukkan PR kalah dalam PRU 13 selepas undi orang Melayu kembali kepada Umno walaupun pengundi Cina kekal dengan mereka.
“Isu nama Allah dan penguasaan DAP ke atas PR telah digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk menarik pengundi Melayu kepada mereka dengan bantuan dua tokoh iaitu Mufti Perak Harussani Zakaria dan penceramah agama yang popular di kalangan Melayu Perak, Kazim Alias,” katanya.
Kajian yang dibuat sebuah firma kajian bebas Ilham Centre juga menunjukkan faktor itu menjadi kekangan kepada PH sekarang.
“Berdasarkan maklumat dan trend yang ada, saya masih melihat BN akan terus menang dalam pilihan raya akan datang melainkan PH membuat perubahan strategi dan dapat menonjolkan tokoh yang boleh diyakini pengundi khasnya Melayu,” kata pengerusi eksekutifnya, Hisomuddin Bakar yang menetap di Ipoh.
Perang Persepsi
Nama baik Mohamad Nizar Jamaludin, menteri besar Pakatan Rakyat selama 11 bulan dirosakkan oleh suasana ketika itu di mana PAS yang beliau wakili hanya mempunyai kerusi minoriti dalam Dewan Undangan Negeri Perak.
“PAS ada enam saja Adun, DAP ada 18. Jadi macamana saya nak tepis persepsi bahawa DAP yang menguasai kerajaan sebab mereka memang majoriti. Jadi bila Umno kempen begitu, mereka berjayalah,” kata Nizar kepada The Malaysian Insight.
Beliau sedar, Umno memang menggunakan media dan jentera mereka untuk memburukkan nama baik beliau.
“Padahal realitinya saya pernah cabar Umno dalam Dewan Negeri, tunjukkan kepada saya di mana saya menjadi kuda tunggangan kepada DAP, mereka tak dapat nak tunjukkan satu pun,” katanya.
Menurut sumber PKR, kenyataan Nizar ditunggangi oleh DAP hanya persepsi semata-mata bukan realiti.
“Cakap-cakap bahawa Nizar hanya ditunggangi DAP hanya persepsi semata-mata. Ia hanya propaganda,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagi beliau, isu sebenar di Perak adalah kenaikan kos sara hidup akibat GST dan kenaikan harga petrol.
“Memang menjadi kemarahan rakyat tentangnya. Lihatlah harga rumah sekarang, begitu juga perumahan untuk yang miskin. Kerajaan negeri tidak buat apa-apa tentang perkara ini,” katanya.
Pandangan beliau disokong oleh seorang warga Ipoh ketika ditemui di kedai kopi.
“Mana ada Nizar dikawal oleh DAP. Itu semua persepsi saja. Penceramah BN telah bawa cerita ini sejak bertahun-tahun dulu lagi. Sebenarnya mereka semua bekerjasama,” katanya.
Beliau yakin, dengan penyertaan Dr Mahathir kali ini, PH berpeluang untuk menang sekali lagi di Perak.
Sebelum ini, pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata, PH berpeluang cerah untuk mengambil alih semula Perak dalam PRU 14 nanti.– 25 Ogos, 2017.