Iklan

Zahid bangkitkan semangat Kuala Nerus untuk rampas kerusi pada PRU14

Chan Kok LeongZulkifli Sulong7 years ago25th Aug 2017Berita
Ahmad zahid hamidi 20170825 hasnoor 003
Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Kompleks Sukan Gong Badak menggesa semua penyokong bekerja keras untuk merampas semula kerusi di Kuala Nerus. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Ogos, 2017.
Iklan

KEUTAMAAN bagi bahagian Kuala Nerus adalah untuk memenangi empat kerusi negeri – Tepuh, Teluk Pasu, Seberang Takir dan Bukit Tunggal.

Sekitar dewan mungkin dipenuhi bendera parti dan delegasi yang hadir dengan mengenakan seragam biru Barisan Nasional, namun suasananya masih belum hangat di Kompleks Sukan Gong Badak, hari ini.

Sehinggalah naib presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba menghangatkan suasana di penghujung ucapannya dengan meminta semua hadirin berdiri, namun segelintir daripada mereka dilihat lebih berminat meninggalkan dewan dan melihat telefon bimbit masing-masing.

“Bangun dan berdiri dengan saya sekiranya anda setuju kita mampu merampas kembali kerusi Kuala Nerus. Hanya yang duduk tidak bersetuju dengan saya,” katanya sebelum semua hadirin berdiri.

Walaupun pada awalnya gesaan yang sama dibuat oleh ketua bahagian Kuala Nerus yang juga Menteeri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman untuk mengambil semula semua kerusi negeri dan persekutuan di Kuala Nerus, hadirin memberikan reaksi hambar.

“Kita mesti merampas semula kerusi Kuala Nerus,” kata Zahid.

“Kita menguasai Putrajaya dan dekat dengan perdana menteri. Jadi, jika kamu perlukan sesuatu, kami boleh dapatkan untuk kamu. Tetapi ini hanya boleh dibuat sekiranya kamu bekerja keras seperti saya dan Perdana Menteri Najib Razak,” katanya diiringi tepukan gemuruh hadirin.

Ahmad Razif kini menyandang satu-satunya kerusi negeri, Seberang Takir di dalam daerah Kuala Nerus. Beliau menang dengan 1,510 undi. Barisan Nasional belum pernah tewas di Seberang Takir yang menempatkan kem tentera terbesar di negeri Terengganu.

Tiga lagi kerusi negeri adalah – Tepuh, Teluk Pasu dan Buit Tunggal – disandang oleh Hishamuddin Karim, Ridzuan Hashim dan Alias Razak daripada PAS.

Margin kekalahan bagi Tepuh adalah 229 undi, Teluk Pasu (109) di bawah 2% manakala Bukit Tunggal (652) bawah 5%.

Sama seperti kerusi parlimen Kuala Nerus yang dimenangi Mohd Khairuddin Aman Razali daripada PAS dengan kurang 1% (610 undi) dengan jumlah pengundi 76,238.

Terdahulu Ahmad Razif cuba menarik perhatian dengan membandingkan Sukan Sea Kuala Lumpur dengan politik.

“Dalam banyak acara di Sukan Sea, saya paling suka melihat pasukan yang ada kerana ia menggambarkan semangat berpasukan dengan objektif dan sasaran yang sama.

“Bila ada kerjasama berpasukan, kita mampu mencapai sesuatu keajaiban dan istimewa. Pasukan bola jaring yang kalah tipis dengan Singapura pada 2015 kali ini menang pingat emas.

“Sama dengan pasukan ragbi dan memanah yang juga memenangi pingat emas.”

Beliau juga berharap bahagian Kuala Nerus boleh mencontohi semangat atlet Sukan Sea pada pilihan raya umum akan datang. – 25 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan