Iklan

Guan Eng akui PRK Cameron tugas sukar buat Pakatan

Looi Sue-Chern6 years ago1st Jan 2019Berita
Lim guan eng tmikamal 02
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulas tentang cabaran Pakatan Harapan untuk memenangi PRK Cameron Highlands.
Iklan

LIM Guan Eng mengakui kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan tugas sukar untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Timbalan presiden PH itu berkata ini kerana kerusi itu tidak pernah dimenangi sama ada oleh partinya, DAP atau komponen Pakatan dan MIC mempunyai kelebihan untuk mengekalkan kemenangan di sana.

“PRK itu akan menjadi persaingan sengit kerana MIC mempunyai kelebihan kerana sering mengekalkan kerusi itu.

“Kerusi itu sudah lama dipegang oleh MIC dari Barisan Nasional (BN), dan tidak pernah dimenangi oleh DAP atau PH,” kata Lim yang juga merupakan setiausaha agung DAP.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek menaik taraf lif di kuartes Kastam di Bukit Gelugor hari ini.

Lim berkata DAP masih belum memutuskan calon untuk bertanding di kerusi itu tetapi jawatankuasa eksekutif pusat parti akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Katanya PH perlu berkerja keras untuk memenangi kerusi tersebut walaupun berdepan tugas sukar bagi memastikan penduduk Cameron Highlands merasai pembangunan yang mapan.

“Kita bukan saja mahu membangunkan kawasan hijau seperti Cameron Highlands, tetapi memastikan pembangunan mapan di kawasan itu,” katanya.

PRK Cameron Highland akan diadakan pada 26 Januari ini selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan C Sivarraajh (MIC-BN) pada PRU14 selepas memutuskan berlakunya amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highland dengan majoriti 597 undi dalam pertandingan lima penjuru apabila memperolehi 10,307 undi. 

Beliau menewaskan calon DAP M Manogaran yang memperolehi 9,710 undi, Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi); dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang memperolehi 680 undi.

Manogaran kemudiannya memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan memohon pengisytiharan keputusan itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran disebut-sebut untuk kekal bertanding di kerusi itu manakala Presiden MyPPP Dr M. Kayveas dilapor mempertimbangkan untuk turut sama bertanding. – 1 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan