Iklan

Sistem harga petrol Pakatan bukan tiru BN, kata Guan Eng 

Looi Sue-Chern6 years ago1st Jan 2019Berita
Lim guan eng 210618 tmiseth 03
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata mekanisme sistem harga petrol mingguan yang diperkenalkan PH masih belum pernah digunakan oleh mana-mana pihak sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019
Iklan

SISTEM apungan harga minyak mingguan Pakatan Harapan bukan meniru apa yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ramai yang kata kita mengikut cara lama. Tidak. Sebelum ini, tiada had harga ditetapkan.

“Apa yang kami perkenalkan tidak pernah dibuat sebelum ini. Ini adalah inovasi kerajaan PH yang dipuji oleh ramai. Apabila harga minyak global turun, rakyat akan mendapat faedah dan membayar rendah setiap minggu.

“Tetapi apabila harga minyak dunia naik, rakyat hanya membayar RM2.20 seliter. Selebihnya akan disubsidikan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini selepas melancarkan projek menaik taraf lif di kuarters Kastam Bukit Gelugor.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan ia akan melaksanakan sistem apungan harga minyak mingguan agar pengguna hanya membayar harga runcit untuk petrol yang terkesan dengan harga minyak global.

Namun pengumuman itu dibantah oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), yang membawa kepada pelaksanaan sistem itu ditangguhkan dari hari ini kepada hujung minggu ini.

Jumaat lalu, Presiden PDAM Khairuk Annuar Abdul Aziz dilaporkan berkata pengedar akan mengalami kerugian besar apabila berlaku perubahan dalam mekanisme harga.

Berikutan bantahan itu, Lim dalam satu kenyataan semalam berkata harga runcit minyak baharu akan diumumkan pada minggu pertama tahun ini.

“Kami akan umumkan selepas mesyuarat kabinet pertama esok. Ia mungkin lebih awal atau kemudian, yang pastinya dalam minggu pertama tahun ini,” katanya mengulangi kenyataan tu hari ini.

“Perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) mengadakan pertemuan dengan persatuan yang membantah sistem apungan ini. Kerajaan mahu mengambil kira pandangan semua pihak, namun sistem itu akan diteruskan.

“Kita akan laksanakan sehingga kita perkenalkan kad petrol percuma,” katanya, merujuk kepada subsidi petrol yang disasarkan untuk memberi faedah kepada kumpulan B40 dan mereka yang memerlukan.

Lim berkata, buat masa ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution akan mendedahkan lebih lanjut berhubung kad petrol percuma yang akan diperkenalkan dalam tempoh enam bulan lagi.

“Kita perlu melalui tender terbuka untuk melantik syarikat yang akan menguruskan kad ini. Proses tender masih berlangsung. Kemudian, kita akan membuat penilaian yang sewajarnya,” katanya. – 1 Januari, 2019

Iklan
Iklan