Iklan

Mansuh tol motosikal hanya satu permulaan, kata Guan Eng

Looi Sue-Chern6 years ago1st Jan 2019Berita
Toll 20171028 tmihasnoor 009
Kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan tol laluan motosikal di jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang selain Linkedua di Johor bermula hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019.
Iklan

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) kekal komited untuk menunaikan janji memansuhkan tol selepas kutipan tol laluan motosikal di dua jambatan Pulau Pinang dan Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua) dimansuhkan bermula hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pemansuhan tol untuk pengguna laluan motosikal merupakan satu permulaan dan lebih banyak berita gembira buat rakyat Malaysia apabila kewangan negara kembali pulih.

“Hari ini merupakan hari pertama pemansuhan tol motosikal di jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang, dan Linkedua di Johor.

“Ini merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ini merupakan langkah awal ke arah pemansuhan tol.

“Kita tidak akan setakat berhenti untuk tol motosikal sahaja. Kita akan terus berusaha ke arah objektif asal. Jika kedudukan kewangan semakin baik, mungkin lebih banyak berita gembira buat rakyat,” kata Lim pada media di Pulau Pinang hari ini.

PH sebelum ini dikritik kerana tidak menunaikan beberapa janji pilihan raya termasuk memansuhkan tol selepas merampas Putrajaya pada Mei lalu.

Kerajaan baharu itu juga dikritik kerana meniru janji kerajaan lama Barisan Nasional (BN) untuk memansuhkan tol laluan motosikal.

“Jika kerajaan masih di bawah BN, tol untuk motosikal mungkin dimansuhkan. Tetapi cukai GST akan terus dilaksanakan dan membuatkan hidup rakyat susah,” kata Lim.  
 
Beliau berkata walaupun tanpa GST yang digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan masih mampu melakukan program kebajikan dengan pendapatan negara yang semakin berkurangan disebabkan pemansuhan cukai yang diperkenalkan kerajaan BN.

Malah katanya kerajaan masih mampu membayar bonus khas berjumlah RM1 bilion kepada 1.4 juta penjawat awam pada bulan lalu. – 1 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan