Tiada lambakan pelajar di sekolah menengah harian, kata Maszlee
Iklan
KERAJAAN menegaskan tiada lambakan pelajar berlaku di sekolah menengah harian selepas kuota 60% penempatan di sekolah berasrama penuh diperuntukkan kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata lambakan itu tidak berlaku kerana kerajaan telah menetapkan bilangan pelajar yang boleh diterima masuk setiap sekolah, termasuk sekolah berasrama.
“Tidak ada (lambakan),” tegasnya ketika ditanya mengenai dakwaan kumpulan ibu bapa bahawa anak-anak mereka yang cemerlang terpaksa bersesak di sekolah menengah harian.
Rungutan itu disuarakan oleh komuniti ibu bapa dalam talian Whatsapp yang dilihat The Malaysian Insight.
“Mereka yang masuk asrama penuh memang ada bilangannya dan yang tidak masuk memang ada bilangannya, cuma siapa yang masuk saja,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.
Jelasnya, dasar baharu itu bagi membolehkan lebih ramai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah masuk ke sekolah berasrama penuh.
“Jadi polisi kita pada kali ini, kita mengembalikan semangat sekolah berasrama penuh, kalau dahulu sekolah berasrama penuh adalah untuk mereka dari golongan yang miskin, golongan luar bandar dan juga mereka yang kurang kemampuan,” kata Maszlee.
Beliau bercakap kepada pemberita, selepas lawatan sesi persekolahan pertama 2019 di Sekolah Kebangsaan Precint 14, Putrajaya.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, dasar berkenaan dibuat memandangkan sekolah berasrama penuh hari ini seolah-olah menjadi tempat golongan elit menghantar anak-anak mereka.
“Tetapi muktahir kita lihat ia seperti menjadi sekolah elit, ramai anak orang kaya pun pergi sekolah berasrama penuh dan akhirnya anak orang orang yang kurang kemampuan sudah tidak dapat peluang.
“Jadi dasar kita pada kali ini, kalau kita ingin membantu ekonomi rakyat, kita ingin membantu golongan berpendapatan rendah ialah dengan berikan peluang supaya anak anak mereka dapat pendidikan yang baik di sekolah berasrama penuh,” kata Maszlee.
Tambahnya, selain golongan kurang berkemampuan di luar bandar, dasar itu juga memberi peluang kepada anak-anak daripada golongan miskin bandar, pegawai tentera dan polis berpangkat rendah memasuki sekolah berasrama penuh.
Tetap cemerlang walau sekolah kampung
Melalui dasar itu juga, kementeriannya berharap ia akan dapat meningkatkan ekonomi keluarga berkenaan, katanya.
“Apabila anak-anak mereka akan mendapat peluang pergi sekolah berasrama penuh dan seterusnya mendapat peluang meningkatkan ekonomi keluarga apabila mereka telah berjaya nanti,” katanya.
Maszlee juga berkata, tidak timbul isu pelajar cemerlang akan dikesampingkan dengan dasar tersebut.
“Pelajar cemerlang, dia di mana saja diletakkan mereka akan cemerlang.
“Mengikut pengalaman saya, apabila lihat pelajar cemerlang ini, walaupun dia di sekolah kampung dia pun akan cemerlang, walaupun di sekolah biasa pun akan cemerlang.
“Dan kebanyakan pelajar cemerlang ini, mereka akan dapat dikenali oleh para guru yang berdedikasi,” kata Maszlee lagi.
Bagi sesi persekolahan 2019, pihak kementerian dalam kenyataan pada 23 Disember lalu memaklumkan telah menerima seramai 9,350 pelajar untuk ditempatkan di sekolah berasrama penuh.
Daripada jumlah itu, 52.28% atau 4,888 dikenali sebagai pelajar daripada golongan B40, satu peningkatan sebanyak 15.34% daripada pengambilan pada 2018. – 2 Januari, 2019.