Iklan

Bekas exco batal saman terhadap 2 Adun Pulau Pinang

Looi Sue-Chern6 years ago2nd Jan 2019Berita
Defamation suit seberang prai tmi 020119
Adun Jawi Jason H’ng (tengah) bersalam dengan bekas rakan exco Majlis Perbandaran Seberang Prai G Rajasegar yang membatalkan saman terhadap H'ng hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.
Iklan

SEORANG bekas exco Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hari ini menarik balik saman fitnah terhadap dua bekas rakan sekerja yang kini Adun Pulau Pinang.

Northern Indian Congress (NIC) dan Presiden G Rajasegar memfailkan saman fitnah itu terhadap Adun Jawi Jason H’ng Mooi Lye dan Adun Sungai Bakap Dr Amar Pritpal Abdullah pada Februari tahun lepas.

Saman itu berkaitan mesej dalam kumpulan aplikasi WhatsApp bernama “AM &HOD MPSP” pada Mei 2017, yang dakwa Rajasegara mencemarkan reputasi dan maruah dirinya dan NIC.

Dalam kenyataan tuntutan, Rajasegar berkata H’ng menuduhnya menyalah guna kuasa selaku bekas exco MPSP, manakala Amar pula mendakwa NIC adalah badan bukan kerajaan untuk buat duit.

Pada ketika itu, H’ng dan Amar adalah exco MPSP sebelum menang PRU14. Amar juga adalah timbalan speaker DUN sekarang.

Pagi tadi, peguam plaintif K Mahendra memaklumkan Hakim Hadhariah Syed Ismail di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang Rajasegar dan NIC memutuskan menarik balik saman mereka terhadap H’ng dan Amar.

Tambahnya, anak guamnya juga memohon maaf kepada kedua-dua Adun tersebut kerana memfailkan saman.

Hadhariah menerima permohonan tersebut tanpa kebebasan difailkan semula dan kedua-dua plaintif perlu membayar RM5,000 kos perundangan kepada setiap defendan.

Di luar mahkamah, peguam H’ng, RSN Rayer dan peguam Amar, Jason Ong menjelaskan yang saman itu ditarik balik kerana mesej yang dikatakan fitnah itu ditulis dalam sebuah kumpulan bual peribadi aplikasi WhatsApp.

“Kumpulan itu adalah kumpulan bual dalaman untuk exco dan ketua jabatan MPSP. Apa yang dibincangkan adalah rahsia.

“Tetapi mesej itu bocor dan saman itu difailkan,” kata Ong. – 2 Januari, 2019.

Iklan
Iklan