Iklan

Pelajar tetap cemerlang walau sekolah kampung, kata Maszlee

Maszlee malik 20190102 tmihasnoor 005
Menteri Pendidikan Maszlee Malik melawat sesi persekolahan pertama 2019 di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Januari, 2019.
Iklan

PELAJAR cemerlang daripada keluarga berada yang tidak berpeluang masuk ke sekolah berasrama penuh akan tetap cemerlang walau di sekolah harian biasa, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata tidak timbul isu pelajar cemerlang terpinggir apabila lebih ramai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah masuk sekolah berasrama penuh.

“Pelajar cemerlang dia di mana saja diletakkan mereka akan cemerlang.

“Mengikut pengalaman saya, apabila lihat pelajar cemerlang ini, walaupun di sekolah kampung dia pun akan cemerlang, walaupun di sekolah biasa pun akan cemerlang.

“Dan kebanyakan pelajar cemerlang ini, mereka akan dapat dikenali oleh para guru yang berdedikasi,” kata Maszlee kepada pemberita ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan kumpulan ibu bapa bahawa anak mereka yang cemerlang terpaksa bersesak di sekolah menengah harian.

Golongan ibu bapa ini juga bimbang prestasi anak mereka akan merosot sekiranya ditempatkan di sekolah harian biasa.

Rungutan itu disuarakan oleh komuniti ibu bapa dalam talian Whatsapp yang dilihat The Malaysian Insight.

Bagi sesi persekolahan 2019, kementeriannya menerima seramai 9,350 pelajar untuk ditempatkan di sekolah berasrama penuh.

Daripada jumlah itu, 52.28% atau 4,888 dikenali sebagai pelajar daripada golongan B40, satu peningkatan sebanyak 15.34% daripada pengambilan pada 2018.

Maszlee ditemui pemberita semasa lawatan sesi persekolahan pertama 2019 di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya. – 2 Januari, 2019.

Iklan
Iklan