Iklan

Borang undi Tasek Gelugor dalam peti besi Mahkamah Tinggi Pulau Pinang 

Looi Sue-Chern6 years ago2nd Jan 2019Berita
Haniff khatri
Peguam yang mewakili bekas timbalan menteri luar Marzuki Yahya, Haniff Khatri Abdulla (tengah) bersama penyokongnya di mahkamah Pulau Pinang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019
Iklan

DOKUMEN asal Borang 14 Tasik Gelugor - iaitu dokumen yang mengesahkan jumlah undi yang diterima calon di setiap pusat mengundi - kini disimpan di peti besi Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. 

Keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pulau Pinang itu dipertikaikan oleh bekas timbalan menteri luar Marzuki Yahya, yang tewas dengan 81 undian kepada penyandangnya Shabudin Yahaya, yang sebelum ini bersama Barisan Nasional sehingga peletakan jawatannya. 

Peguam Haniff Khatri Abdullah, yang mengetuai barisan peguam mewakili Marzuki memberitahu pemberita, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghantar Borang 14 kepada Mahkamah Pilihan Raya pagi ini sebagaimana yang diarahkan. 

Salinan asal akan disimpan di mahkamah dan peguam yang mewakili Marzuki dan defendan - Shabudin dan SPR - diberi salinan. 

“Mahkamah Pilihan Raya bulan lalu mengarahkan SPR menyediakan salinan untuk membantu prosiding akan datang. 

“SPR mematuhinya dan semua borang dibuka pagi ini di hadapan penolong pendaftar kanan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Mohd Ridzwan Salleh dan semua peguam,” katanya selepas semua borang itu dibuka, yang prosesnya mengambil masa kira-kira dua jam. 

Haniff juga berkata, semua pihak terlibat dalam kes ini kini di bawah perakuan dan tidak dibenar mendedahkan sebarang maklumat berhubung kandungan borang berkenaan. 

Beliau berkata, ini menurut Seksyen 5, Akta Kesalahan Pilihan Raya. 

“Semua di bawah perakuan sumpah untuk tidak mendedahkan kandungan dokumen itu kepada umum sehingga prosiding diteruskan. 

“Mahkamah akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit pada tarikh yang dimaklumkan, iaitu pada 14 Januari kira-kira pukul 11.30 pagi. 

“Perakuan sumpah itu direkod daripada peguam yang mewakili pempetisyen dan defendan,” katanya.

Haniff berkata, beliau juga tidak boleh mendedahkan jumlah borang berkenaan yang disediakan kepada Mahkamah Pilihan Raya dan SPR hari ini. 

“Kami harap semua pihak memahami tentang bagaimana ketatnya prosedur pilihan raya,” tambahnya. 

Tarikh untuk kes berkenaan dibicarakan masih belum ditetapkan. 

Marzuki, yang kini merupakan senator, mendapati keputusan pilihan raya di Tasek Gelugor meragukan kerana terdapat jumlah undi rosak yang tinggi dan peti undi yang tidak dikembalikan - masing-masing 689 dan 297 - apabila majoriti yang dimenangi Shabudin hanya 81 undi. 

Marzuki berkata SPR tidak membenarkannya untuk kiraan semula dan beliau meminta berbuat demikian pada malam undian dikira pada 9 Mei, menyebaban beliau memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan itu. 

Pada September, Hakim Hashim Hamzah, yang merupakan hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan petisyen oleh Marzuki adalah “sangat cacat”, dan membatalkannya dengan kos. 

Menurut Hashim, petisyen berkenaan, yang tidak menspesifikkan isu dengan keputusan pilihan raya, tidak mengikut peraturan pilihan raya yang sangat ketat. 

Marzuki kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan itu pada November, membawa kepada Mahkamah Persekutuan memindahkan semula kes ke Mahkamah Pilihan Raya di Pulau Pinang untuk didengar.  – 2 Januari, 2019

Iklan
Iklan