Umno sudah terima semua senarai calon PRU, kata Zahid
Iklan
UMNO telah menerima semua senarai calon negeri dan parlimen dari seluruh negara untuk Pilihan Raya Umum ke 14 akan datang, kata naib presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun katanya, senarai itu masih belum di peringkat akhir kerana ia akan dinilai sama ada ia diterima oleh pengundi di kawasan berkenaan atau tidak.
“Kita akan pilih calon yang boleh menang dan disukai pengundi di kawasan masing-masing,” kata Zahid dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Menurutnya, semua negeri telah menghantar senarai calon itu kepada presiden parti, Najib Razak.
“Calon-calon itu belum dimuktamadkan dan kita akan membuat kajian tentang kebolehmenangan mereka dan memberikan penjenamaan yang baik kepada parti,” katanya.
Zahid juga berkata, calon dari parti komponen BN pula akan diserahkan kepada presiden parti masing-masing untuk penyenaraian dan diserahkan kepada Najib.
“Tetapi metodologi kajian yang sama akan digunakan untuk menentukan pilihan,” katanya.
Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kuala Nerus itu, Zahid berkata, Umno akan memilih calon yang disukai oleh pengundi bukan yang disukai oleh pemimpin parti kali ini.
“Kita akan pilih calon yang disukai pengundi bukan disukai pemimpin dan parti,” kata Zahid diiringi tepukan gemuruh perwakilan dan pemerhati dari akar umbi Umno itu.
Dalam ucapan itu, beliau juga berkata, PRU 14 adalah ibu kepada segala pilihan raya dan paling mencabar untuk Umno. – 25 Ogos, 2017.