Aziz jaga hubungan dengan Zahid, tak mahu terajui Utusan
Iklan
AZIZ Sheikh Fadzir keberatan untuk kembali ke Kumpulan Utusan Melayu Berhad kerana tidak mahu mengeruhkan hubungan baiknya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata sumber.
Zahid kini bercuti daripada jawatan presiden Umno sejak 21 Disember, dan tugas-tugasnya dipangku Timbalan Presiden Mohamad Hasan.
Aziz yang letak jawatan pada 13 Disember lalu hanya mahu menguruskan soal tunggakan gaji dan pampasan, dan bukannya merundingkan jalan untuk beliau patah balik mempengerusikan syarikat milik Umno itu.
“Aziz kata dia sahabat Zahid. Agak sukar untuk dia pimpin semula syarikat sebab akan dilihat sebagai tidak lagi setia kepada Zahid,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Aziz memaklumkan pendiriannya Isnin lalu dalam mesyuarat dengan ketua jabatan Utusan dan wakil bekas kakitangan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).
The Malaysian Insight sudah menghubungi Aziz untuk mendapatkan penjelasan namun tiada maklum balas.
Pendirian Aziz turut disahkan oleh individu yang rapat dengan bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu, yang juga maklum tentang proses pemulihan kewangan Utusan.
Aziz dilantik pengerusi eksekutif Utusan, syarikat yang dimiliki Umno dengan saham 49.77%, pada Jun lalu, dan sebulan kemudian memangku jawatan ketua pengarang kumpulan selepas dua pengarang kanannya melepaskan jawatan dan bersara.
Tetapi, Aziz melepaskan jawatan pengerusi eksekutif Utusan pada 13 Disember, serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah urusan merangkap ketua pengarang kumpulan. Ibrahim adalah bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi.
Ibrahim bagaimanapun jadi ketua pengarang kumpulan Utusan paling singkat dalam sejarah akhbar itu apabila letak jawatan seminggu kemudian, tiga hari selepas Zahid menyerahkan tugas presiden Umno kepada Mohamad.
Sejak itu, usaha digerakkan oleh beberapa pihak, termasuk lebih kurang 300 kakitangan Utusan yang membuat petisyen, untuk memanggil semula Aziz bagi menyambung pelan pemulihan syarikat yang dikatakan terganggu.
Kedudukan Aziz dan Utusan jadi perhatian apabila beliau memendekkan percutian bersama keluarga di Eropah untuk pulang ke Malaysia bagi membincangkan penyelesaian masalah kewangan Utusan yang terus dihimpit beban kos operasi dan hutang.
Utusan minggu lalu gagal membayar gaji kakitangan mengikut masa, malah gagal juga membayar pampasan kepada lebih 700 bekas kakitangan yang berhenti sukarela akhir November lalu.
Selepas mesyuarat dengan Aziz pada pagi Isnin, dalam kalangan kakitangan dan bekas kakitangan Utusan tersebar hasil keputusan mesyuarat mengenai pembayaran pampasan VSS serta hutang tertunggak dengan bank selepas syarikat membuat potongan gaji kakitangan.
The Malaysian Insight difahamkan pampasan VSS yang dibayar beransur-ansur selama 12 bulan akan diselesaikan bagi tiga bulan pertama sebelum 25 Januari ini.
Utusan yang berdepan masalah kewangan sehingga diletakkan di bawah status PN17 kini bergantung kepada hasil jualan aset untuk menyelesaikan bayaran pampasan lebih 700 kakitangannya yang berhenti sukarela. – 3 Januari, 2019.