Grab rayu isu pengambilan penumpang di lapangan terbang Pulau Pinang diselesai
Iklan
PENYEDIA perkhidmatan e-hailing Grab akan membuat rayuan kepada pihak berkuasa berhubung saman yang dikeluarkan kepada salah seorang pemandunya yang mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Jurucakap Grab memberitahu The Malaysian Insight bahawa syarikat berkenaan menyedari isu terbabit dan membantu pemandunya untuk membuat rayuan kepada pihak berkuasa.
“Kita juga akan cuba berbincang dengan pihak berkuasa untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu itu,” katanya menerusi mesej di WhatsApp.
Sekurang-kurangnya satu kes dilaporkan di sosial media, yang mana seorang pemandu Grab dikenakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas mengambil penumpang di lapangan terbang di Pulau Pinang pada 1 Januari.
Kesalahan yang dinyatakan dalam saman berkenaan adalah kerana menggunakan lesen memandunya untuk mengambil penumpang.
Susulan insiden itu, pemandu Grab mengelak daripada mengambil penumpang di lapangan terbang dan hanya memberi perkhidmatan menurunkan penumpang.
Turut difahamkan, Grab sudah menghantar mesej kepada pemandunya di Pulau Pinang untuk memaklumkan mereka bahawa tidak mengapa untuk terus mengambil dan menurunkan penumpang di lapangan terbang.
“Kami telah memaklumkan kepada pengawal selia dan ingin mengesahkan bahawa mengambil dan menurunkan penumpang di lapangan terbang dibenarkan selagi tempahan dilakukan melalui aplikasi Grab.
“Bagaimanapun, perlu diingatkan agar tidak menunggu di sekitar lapangan terbang untuk mendapatkan penumpang kerana ia akan menyebabkan kesesakan. JPJ akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan ini,” menurut mesej kepada pemandu itu.
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan pemandu e-hailing diberi masa sehingga Julai tahun ini untuk memohon lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sebagai sebahagian daripada langkah kementerian untuk selaraskan peraturan kepada pemandu e-hailing dan teksi. Perubahan lesen itu memerlukan pemandu menghadiri kursus dan membayar RM200 untuk dokumen.
Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan memerlukan pemilik kenderaan menggunakan lesen memandu mereka untuk tujuan yang dinyatakan.
Pemandu Grab di Pulau Pinang berdepan kesukaran untuk beroperasi dari lapangan terbang di negeri itu. Bulan lalu, sekumpulan pemandu limosin cuba menghalang pemandu Grab daripada mengambil penumpang di lapangan terbang berkenaan.
Dalam satu bantahan, mereka menuntut kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang agar “mematuhi undang-undang” dan melarang pemandu e-hailing daripada mengambil penumpang di lapangan terbang. – 3 Januari, 2019