Mohd Daud Bakar calon presiden UIAM ganti Maszlee
Iklan
SEORANG bekas pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dicadangkan sebagai calon presiden universiti itu menggantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, yang pelantikannya sebelum ini menimbulkan kontroversi, kata beberapa sumber.
Dr Mohd Daud Bakar, yang juga pakar hal ehwal kewangan dan perbankan Islam, disebut-sebut calon pengganti Maszlee yang melepaskan jawatannya akhir November lepas, kata dua sumber yang maklum tentang proses pelantikan itu.
The Malaysian Insight juga difahamkan nama Daud sudah dikemukakan untuk perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebagai ketua perlembagaan UIAM yang mempunyai kuasa lantikan.
“Kita masih menunggu pengesahan pelantikan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Seorang lagi sumber yang dekat dengan UIAM turut mengesahkan kepada The Malaysian Insight cadangan nama Daud sebagai pengganti Maszlee.
The Malaysian Insight masih menunggu maklum balas Maszlee untuk pengesahan.
Awal November lalu, selepas dua bulan bergelut kontroversi berhubung kedudukannya sebagai presiden UIAM, Maszlee mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan selepas proses pelantikan penggantinya selesai.
Ketika itu, beliau membayangkan proses tersebut dijangka selesai pada hujung November.
Maszlee juga ketika itu menyebut calon penggantinya seorang yang terkenal di peringkat antarabangsa, tiada jawatan politik, dan berpengalaman dalam pengurusan universiti.
Daud ialah bekas timbalan rektor UIAM sehingga 2005, sebelum menubuhkan syarikat perunding kewangan Islam, Amanie Advisors. Syarikat itu kini beroperasi di enam kota raya dunia.
Daud juga bukan nama asing dalam bidang kewangan Islam dunia. Beliau merupakan ahli lembaga syariah beberapa institusi kewangan antarabangsa antaranya Morgan Stanley di Dubai, National Bank of Oman, Bank of London and Middle East di London, Islamic Bank of Asia di Singapura dan Dow Jones Islamic Market Index di New York.
Di Malaysia, beliau mempengerusikan tiga majlis penasihat syariah bagi Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.
Pada 2014, Daud diangkat sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan manakala setahun kemudian, Amanie Advisors menerima Anugerah Ekonomi Islam daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu.
Lulusan Syariah dari Universiti Kuwait ini mendapat ijazah kedoktoran dari University of St. Andrews, United Kingdom.
Buku tulisannya Shariah Minds in Islamic Finance: An Inside Story of A Shariah Scholar menang hadiah buku kewangan Islam terbaik pada 2016.
Pelantikan Maszlee sebagai presiden UIAM menimbulkan kontroversi selepas dikritik kerana bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu membebaskan institusi pendidikan daripada politik.
Pelantikan beliau umumnya disambut baik oleh pensyarah, kakitangan dan mahasiswa universiti itu namun dibantah kumpulan mahasiswa pro kebebasan universiti.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Maszlee sudah dinasihatkan oleh pimpinan PH untuk melepaskan jawatannya di UIAM.
Pada 12 November lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga menteri dalam negeri meminta Maszlee melepaskan jawatan presiden UIAM “serta merta” selepas jemaah menteri membuat keputusan beliau tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut.
Pada hari yang sama, Maszlee mengesahkan beliau akan melepaskan jawatannya sebelum akhir November. – 4 Januari, 2019.