Tugas di Cameron Highlands tidak pernah terhenti buat Manogaran
Iklan
WALAUPUN tewas pada dua pilihan raya, M. Manogaran tidak pernah menghampakan pengundi di Cameron Highlands - beliau tetap berkhidmat untuk mereka.
Bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu pada mulanya diletakkan oleh DAP untuk merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada MIC pada pilihan raya umum 2013 dan pilihan raya umum lalu.
Beliau tewas dalam kedua-dua pilihan raya itu dengan margin yang kecil.
“Saya datang dan pergi. Saya masih hadir pada program yang dijemput oleh penduduk tempatan, membantu penduduk tempatan dengan masalah dan isu mereka, dan memberikan khidmat nasihat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pakatan Harapan hari ini mengumumkan beliau sebagai pilihan mereka untuk bertanding pada pilihan raya kecil di kerusi Parlimen itu.
Peguam berusia 59 tahun itu berkhidmat di kerusi Parlimen di Pahang sejak 2013, menguruskan aduan dan memberi khidmat nasihat kepada penduduk tempatan yang memerlukan. Partinya turut mengekalkan pusat khidmat masyarakatnya di Brinchang.
Manogaran terbabit membantu penduduk tempatan ketika kejadian banjir di Lembah Bertam; dan membantu 100 penduduk dari kawasan terbabit memenangi saman kecuaian terhadap Tenaga Nasional Bhd.
Penduduk yang diwakili peguam DAP, menang saman mereka terhadap TNB pada Mei tahun lalu apabila Mahkamah Tinggi memutuskan syarikat itu menyebabkan banjir di kawasan berkenaan pada Oktober 2013. TNB mencabar keputusan itu, namun ia diketepikan oleh Mahkamah Rayuan bulan lalu.
Kerusi berkenaan diisytiharkan kosong selepas Manogaran, yang merupakan calon DAP pada Pilihan Raya Umum ke 14 memenangi perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan pilihan raya calon MIC C. Sivarraajh.
Mahkamah Pilihan Raya sebelum itu mendapati terdapat amalan rasuah oleh Barisan Nasional ketika kempen pilihan raya, yang membawa kepada kemenangan Sivarraajh dengan 10,307 undi - 597 undi majoriti berbanding Manogaran yang mendapat 9,710 undi.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari dan hari mengundi pada 26 Januari.
Jawatankuasa eksekutif pusat DAP akan bermesyuarat untuk beberapa hari akan datang untuk menentukan calon itu. Pemimpin tertinggi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kedua-duanya berkata mereka menjangkakan pertandingan yang sukar.
Cameron Highlands, yang merupakan kawasan dipacu oleh sektor pertanian dan aktiviti pelancongan, merupakan kubu kuat Barisan Nasional.
Ia mempunyai dua kerusi negeri - Tanah Rata, yang disandang wakil DAP Chiong Yoke Kong; dan Jelai, yang disandang oleh wakil BN yang juga Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
DAP, parti komponen dalam kerajaan Pakatan Harapan, tidak pernah memenangi kerusi Cameron Highlands.
Gabungan parti pemerintah baharu itu hanya memenangi sokongan majoriti undi Cina dan India, tewas sebahagian besar undi Melayu dan Orang Asli kepada BN. yang merupakan bekas parti memerintah.
Orang Asli terabai
Walaupun sekian lama menyokong bekas parti pemerintah, Manogaran berkata Orang Asli di Cameron Highlands “paling banyak diabaikan”.
Terdapat lebih 6,500 orang masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands. Mereka merupakan 21% daripada 32,000 pengundi - iaitu jumlah pengundi Orang Asli terbesar dalam kawasan pilihan raya.
Perkampungan mereka, menurut Manogaran, dipinggirkan dan tidak mendapat kemudahan asas dan ada sesetengahnya hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau menyatakan, penduduk terpaksa menunggang motosikal untuk ke kampung mereka bagi melawat orang sakit dan tertanya-tanya bagaimana ambulans boleh sampai ke sana dalam kes kecemasan kerana kekurangan akses untuk kenderaan besar.
“Keadaan jalannya sangat teruk. Kenderaan pacuan empat roda tidak dapat masuk ke sesetengah kawasan,” katanya, menggesa perkara itu diambil perhatian oleh kerajaan pusat.
“Adalah tidak bermoral kerajaan tidak menyelesaikan isu-isu lama ... penangguhan tugas selama enam dekad lalu orang-orang ini tidak dibantu, dan salah laku pejabat awam bahawa komuniti diabaikan sehingga begitu.”– 4 Januari, 2019
Berita penuh di sini.