Melayu luar bandar masih sangsi terhadap Pakatan, kata tinjauan
Iklan
PERSEPSI orang Melayu-Islam luar bandar terhadap Pakatan Harapan (PH) sedikit berubah walaupun sudah lebih enam bulan pakatan itu mentadbir negara, menurut tinjauan Ilham Centre.
Orang Melayu masih lagi curiga terhadap kesediaan dan keupayaan kerajaan baharu ini mempertahankan hak mereka, khasnya hak dan keistimewaan mereka, kesucian Islam serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Ilham Centre menjalankan kajian “Melayu-Muslim Pasca Transisi - Ke Mana Arah Mereka” ke atas masyarakat Melayu-Islam yang ditugaskan oleh Penang Institute pada 21 Oktober hingga 21 November tahun lepas.
Kajian melibatkan 125 responden belia lelaki dan wanita meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka dijemput oleh para penyelidik untuk berkongsi pandagan serta maklum balas mereka dalam perbincangan kumpulan mengenai perkembangan politik pasca PRU14.
Ketua penyelidik dan felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata seperti hasil-hasil kajian pra-transisi sebelum ini, orang Melayu-Islam luar bandar masih tidak cukup teruja untuk menyokong PH.
“Kami mendapat respons yang sama. Mereka curiga bagaimana PH boleh pertahankan hak dan keistimewaan mereka, serta kedudukan Islam dan Bahasa Melayu,” kata beliau.
Pembangkang - Barisan Nasional (BN) dan PAS - masing-masing menang dengan 79 dan 18 kerusi pada PRU14, manakala kerusi selebihnya dimenangi oleh calon bebas dan parti-parti kecil.
Selepas pengeluaran drastik dan peletakan jawatan dalam BN, bilangan kerusi yang dipegang gabungan itu kini tinggal 39 lantas menyebabkan PH peroleh enam kerusi tambahan.
Namun, hakikatnya hanya seorang pengundi Melayu-Islam dalam lima orang yang mengundi PH pada PRU14 lalu.
Di Kelantan, kedah, Perak, Perlis, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, lebih 60% hingga 90% pengundi Melayu-Islam menyokong BN dan PAS.
Kejutan, bimbang mengenai kuasa, keistimewaaan
Menurut Yusri, responden berkata mereka “sangat terkejut” apabila PH berjaya menewaskan Umno-BN buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya umum sambil melahirkan rasa bimbag mengenai hala tuju negara di bawah pentadbiran PH.
“Walaupun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengalaman 22 tahun sebagai perdana menteri, dan kemudian sekali lagi jadi perdana menteri, mereka bimbang mengenai dasar-dasar yang akan PH perkenalkan.
“Mereka yang lebih berusia dari sebelah utara dan selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak bimbang mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu, juga kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.
“Mereka yang berasal dari Sarawak juga melahirkan rasa bimbang PH mengambil alih negeri mereka dalam pilihan raya negeri nanti, bimbang kuasa Melayu-Melanau akan terancam dan diambil alih oleh etnik lain,” kata Yusri.
Tetapi terdapat juga responden muda dari seluruh negara yang cukup teruja PH mengambil alih kerajaan Persekutuan dan gembira undi mereka membawa perubahan besar. – 4 Januari, 2019.