Pengundi Melayu lebih berusia simpati dengan Najib, Rosmah, menurut kajian
Iklan
TERDAPAT rasa simpati dalam kalangan pengundi Melayu yang lebih tua terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor yang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah, menurut kajian yang dijalankan oleh Ilham Centre dan Penang Institute.
Ketua penyelidik dan felo Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, peserta kumpulan sasar berkata walaupun terpulang kepada mahkamah untuk menghakimi pasangan itu, mereka tetap bersimpati kepada mereka.
“Mereka melihatnya sebagai perbuatan balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Peserta dari wilayah utara, Sabah dan Sarawak dan mereka yang lebih berusia merasakan demikian berhubung pendakwaan itu,” katanya ketika mendedahkan dapatan itu malam tadi.
Najib setakat ini menghadapi 38 pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd, “derma” RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya dan kesalahan lain yang dikatakan berkaitan.
Sementara itu, Rosmah menghadapi 19 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Tetapi Yusri berkata peserta muda dan mereka dari wilayah tengah mengalu-alukan pendakwaan terhadap pasangan itu.
“Bagi mereka, pendakwaan itu telah lama dinantikan dan sebagai tindakan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Sikap pengundi Melayu diperhatikan di kalangan masyarakat Melayu-Islam dalam kaji selidik “pasca transisi Melayu” oleh Ilham Centre dan Penang Institute yang dijalankan dari 21 Oktober hingga 21 November tahun lepas.
Kajian itu melibatkan 125 golongan muda, lelaki dan wanita dari pelbagai bahagian di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Mereka diundang oleh penyelidik untuk berkongsikan dan memberi maklum balas dalam perbincangan kumpulan yang memfokuskan kepada pembangunan politik pasca-PRU14.
Pakatan Harapan berjaya menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Najib dan Umno pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu.
Beberapa peserta juga mendapati bahawa kes-kes mahkamah pasca-PRU14 adalah “selektif dan berpihak kepada PH”.
Mereka menyedari betapa naib presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerima keputusan terpilih dalam kes mereka selepas kerajaan berubah.
Rafizi, yang disabitkan kesalahan pada tahun lepas di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan laporan audit 1MDB, dibebaskan kerana berkelakuan baik oleh Mahkamah Rayuan selepas bekas ahli Parlimen Pandan merayu terhadap hukuman penjara selama 18 bulan yang dikenakan ke atasnya.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang turut menggugurkan pendakwaan rasuah berhubung pembelian banglonya di Jalan Pinhorn.
“Para peserta menyatakan kebimbangan bahawa badan kehakiman lebih cenderung kepada PH, seperti yang berlaku ketika BN berkuasa,” kata Yusri.
Mengenai usaha PH untuk memperkenalkan pembaharuan institusi yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, polis, parlimen, badan kehakiman dan perkhidmatan awam, peserta dari kawasan utara dan selatan, pantai timur dan Malaysia Timur berkata mereka tidak mengikuti perkembangan tersebut.
Tetapi bagi mereka yang mengawasi pembaharuan yang dijanjikan, iaitu belia dan orang-orang dari wilayah tengah, keadaan itu mengecewakan, kata Yusri.
“Mereka mendapati kerajaan melakukannya dengan sangat perlahan dan tidak seperti yang mereka harapkan.
“Mereka menyeru supaya kerajaan segera melakukannya supaya negara dapat pulih dengan cepat dan pentadbiran dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi.” – 5 Januari, 2019