Orang Melayu sokong had umur kahwin 18 tahun
Iklan
ORANG Melayu secara amnya menyokong kerajaan menaikkan usia perkahwinan dibenarkan undang-undang kepada 18 tahun, kata satu kaji selidik yang dijalankan oleh Ilham Centre dan badan pemikir Penang Institute.
Ini dilihat di kalangan responden masyarakat Melayu-Islam dalam kaji selidik “pasca-peralihan Melayu” yang dijalankan dari 21 Oktober hingga 21 November tahun lepas. Hasil kajian dikeluarkan malam tadi.
Seramai 125 responden belia, lelaki dan wanita daripada pelbagai bahagian Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dijemput oleh para penyelidik untuk berkongsi pandangan dan maklum balas mereka dalam perbincangan kumpulan sasaran mengenai perkembangan politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua penyelidikan dan felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata semua peserta bersetuju kanak-kanak berusia bawah 18 tahun masih muda dan tidak matang untuk berkahwin.
Semua peserta berhujah yang remaja berumur bawah 18 tahun harus menumpukan perhatian kepada sekolah dan pendidikan mereka.
“Mereka berasa remaja berusia bawah 18 tahun harus memberi tumpuan kepada pendidikan atau sekurang-kurangnya menamatkan sekolah terlebih dahulu sebelum berfikir tentang berkahwin. Peserta bimbang kahwin muda akan menyebabkan perceraian.
“Mereka juga mengatakan masa sudah berubah, tidak seperti dahulu ketika kahwin muda adalah normal,” katanya ketika membentangkan hasil kajian.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan daripada peserta Sabah dan Sarawak yang perkahwinan remaja di bawah usia 18 masih perlu dibenarkan, dengan mengambil kira budaya masyarakat di pedalaman.
“Tetapi apabila ditanya sama ada mereka membenarkan anak perempuan bawah 18 tahun mereka berkahwin, mereka mengatakan tidak sama sekali,” kata Yusri.
Salah satu isu besar kerajaan Pakatan Harapan yang terpaksa dihadapi sejak mula berkuasa pada PRU14 tahun lalu adalah perkahwinan kanak-kanak.
Negara dikejutkan tahun lepas apabila berita lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan mengahwini seorang gadis Thailand berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya.
Terdapat juga satu lagi kes di Kelantan, seorang gadis berusia 15 tahun berkahwin dengan seorang lelaki berusia hampir 30 tahun.
Pada November, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu Parlimen yang kerajaan akan meminda Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 untuk mengetatkan syarat perkahwinan kanak-kanak untuk melindungi kanak-kanak bawah umur terbabit.
Pada September lalu, Selangor menjadi negeri pertama menaikkan umur perkahwinan minimum bagi umat Islam kepada 18 tahun. Pulau Pinang bercadang untuk membuat pindaan yang sama di Dewan Undangan Negeri tahun ini.
Sementara itu, di Mahkamah Syariah Terengganu tahun lepas berhubung kes dua lesbian, peserta kumpulan sasaran juga menyatakan sokongan mereka terhadap hukuman Islam.
Yusri berkata para peserta merasakan hukuman syariah sesuai untuk menjadi pengajaran kepada orang lain memandangkan kedua-duanya mengaku bersalah.
“Hampir kesemua mereka bersetuju dengan rotan terbuka. Beberapa dari kawasan bandar berasa lebih baik jika hukuman itu dilakukan secara tertutup untuk menghalang tindakan memalukan wanita.”
Mengenai kes khalwat, mereka tidak bersetuju dengan larangan serbuan oleh pihak berkuasa agama, kata Yusri.
“Tetapi mereka bersetuju adalah sesuai mengadakan SOP (prosedur operasi standard) untuk mengelakkan menceroboh ruang peribadi seseorang dan memalukan.”
Sementara itu, peserta kumpulan sasaran tidak bersetuju dengan gesaan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin kepada kerajaan untuk menumpukan perhatian terhadap memerangi dosa yang mempengaruhi komuniti dan bukannya “dosa peribadi”.
“Bagi para peserta, tiada wujud masalah dosa peribadi atau awam. Kerajaan perlu membendung semua perbuatan menyebabkan dosa. Mereka tidak melihat sebarang perbezaan antara dua jenis dosa.
“Hampir semua peserta melihatnya dengan cara itu, merasakan kerajaan mesti campur tangan dan menegakkan undang-undang (Islam) untuk mendidik rakyat,” kata Yusri. – 5 Januari, 2019.