Utusan tangguh lagi bayar gaji Disember
Iklan
KUMPULAN Utusan Melayu Berhad sekali lagi menangguhkan pembayaran gaji kakitangannya bagi bulan Disember, selepas menangguhkannya sebelum ini sehingga 7 Januari.
Gaji bagi bulan lepas itu kini akan dibayar “segera” sebelum Khamis depan, kata pengurusan syarikat dalam pekeliling kepada kakitangan yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
“Syarikat sedang dan akan terus berusaha untuk memastikan bayaran tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera iaitu antara 7 Januari 2019 hingga 10 Januari 2019,” kata pekeliling berkenaan.
Beberapa kakitangan Utusan mengesahkan menerima pekeliling tersebut yang ditandatangani Pengurus Besar Sumber Manusia Utusan, Mohd Nazlan Osman.
Syarikat akhbar milik Umno itu sebelum ini memberi komitmen kepada kakitangan bahawa gaji mereka akan dibayar sebelum 7 Januari iaitu Isnin ini.
The Malaysian Insight minggu lalu melaporkan Utusan gagal membayar pampasan pertama lebih 700 bekas kakitangannya yang menamatkan perkhidmatan melalui skim pemberhentian sukarela (VSS) akhir November lepas, yang sepatutnya dibayar pada 25 Disember.
Utusan sebelum ini pernah juga terlewat membayar gaji kakitangannya sehingga kesatuan sekerja mengugut akan membuat piket.
Bagaimanapun sumber memberitahu, kelewatan kali ini adalah yang paling lama sehingga 10 hari selepas tarikh akhir bulan sepatutnya gaji dibayar.
Akta Pekerjaan 1955 memperuntukkan majikan perlu membayar gaji sekali sebulan, tidak lebih tujuh hari daripada tempoh gaji kecuali dengan kebenaran Jabatan Tenaga Kerja.
Pengurusan Utusan sebelum ini membayangkan tidak cukup dana untuk melunaskan pembayaran pampasan VSS dan gaji kerana menerima bayaran penuh daripada pihak yang membeli aset syarikat, yang hasil jualan tersebut akan digunakan bagi menampung kos operasi.
The Malaysian Insight difahamkan hasil jualan bernilai lebih RM30 juta itu melibatkan bangunan milik syarikat di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Sumber memberitahu, syarikat yang membeli aset berkenaan sudah membayar pendahuluan RM600,000 tetapi belum melunaskan bakinya.
Utusan mengharungi beban kewangan ini ketika ia juga berdepan masalah kepimpinan selepas pengerusi eksekutif Abdul Aziz Sheikh Fadzir letak jawatan, dua minggu setelah pelan pemulihan syarikat yang beliau gerakkan bermula.
Aziz melepaskan jawatan pengerusi eksekutif Utusan pada 13 Disember, serentak dengan pelantikan Ibrahim Yahya sebagai pengarah eksekutif merangkap ketua pengarang kumpulan.
Ibrahim adalah bekas setiausaha akhbar presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Ibrahim bagaimanapun letak jawatan genap seminggu kemudian, tiga hari selepas Zahid menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya.
Walaupun ada desakan dan usaha mahu Aziz kembali menerajui Utusan, bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu dikatakan enggan kerana mahu menjaga hubungan persahabatannya dengan Zahid.
Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – 5 Januari, 2019.