Iklan

Tangani isu ekonomi tidak selesai keresahan Melayu, kata Fathi

Looi Sue-Chern6 years ago5th Jan 2019Berita
Psx 20190104 211833
Fathi Aris Omar (kiri) Latheefa Koya (dua, kanan) dan Dr Wong Chin Huat (kanan) mengadakan perbincangan berhubung kajian Ilham Centre mengenai 'Melayu-Muslim Pasca Transisi - Ke Mana Arah Mereka?' di Penang Institute, di Georgetown semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh 4 Januari, 2019.
Iklan

KEBIMBANGAN dan keresahan orang Melayu tidak akan ditangani sepenuhnya dengan menyelesaikan isu ekonomi dan kos sara hidup mereka, kata Fathi Aris Omar.

Bercakap dalam sebuah forum di Pulau Pinang, editor portal berita Projek MMO itu berkata, kerajaan boleh membantu golongan B40 dengan memberi bantuan seperti kepada petani dan nelayan tetapi itu bukan jaminan keraguan dan prejudis akibat ‘kesan psikologi berlapis-lapis’ akan ditangani.

Beliau memberikan contoh isu surat Kementerian Komunikasi dan Multimedia tentang kawalan ke atas pendakwah Islam dalam program televisyen yang tular baru-baru ini. Kawalan itu bagi memastikan hanya pendakwah bertauliah mengikut garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang boleh muncul di televisyen.

“Tetapi ia jadi isu kerana menterinya bukan Islam dari DAP. Orang Melayu tidak terima… ini yang saya maksudkan dengan psikologi,” kata Fathi.

Beliau juga memberikan contoh langkah kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia.

“Bank pusat di bawah Kementerian Kewangan. Menterinya Lim Guan Eng. Jadi Tabung Haji sekarang dikawal oleh seorang ‘kafir’ dari DAP (kata mereka).

“Ini elemen punca keresahan. Yang dipermudahkan walaupun tidak berasas tetapi lebih dipercayai berbanding penjelasan yang rumit dan panjang lebar,” katanya.

Editor portal berita Projek MMO Fathi Aris Omar berkata keraguan dan prejudis akibat 'kesan psikologi berlapis-lapis' oleh rakyat terhadap kerajaan sukar ditangani.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2019

Jelas Fathi, keresahan itulah yang mesti difahami dan pemimpin Pakatan Harapan mesti bijak menghadapi tuntutan orang Melayu melalui jalan dialog dan menangani keresahan itu.

Fathi muncul panel dalam forum ‘Melayu-Muslim Pasca-Transisi: Ke Mana Arah Mereka?’ anjuran Penang Institute, malam tadi.

Beliau dan felo Penang Institute. Dr Wong Chin Huat; ketua penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim and pengarah eksekutif Lawyers For Liberty, Latheefa Koya membincangkan dapatan Ilham Centre mengenai pemikiran dan sikap Melayu Islam selepas pilihan raya umum ke-14.

Berita Lain: Perubahan bawah Pakatan hanya mansuh GST, kata pengundi Melayu

Berita Lain: Pemimpin Pakatan juga main isu kebimbangan hak Melayu, kata peguam

Antara dapatan kajian itu ialah Melayu Islam luar bandar masih tidak yakin dengan kerajaan kerana tidak percaya PH boleh pertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan Islam.

Bagaimanapun Fathi berpendapat perlu ada kajian juga untuk memahami pemikiran pelbagai kelompok Melayu Islam.

Menurutnya, tidak seperti kaum lain, orang Melayu mendapat keyakinan daripada parti politik, pemimpin politik dan sistem kerajaan, dan mereka rasa terancam dengan apa yang berlaku.

Namun rasa terancam itu bukan hanya kerana PRU14 tetapi juga kesan permodenan pasca Merdeka, perbandaran dan kesenjangan ekonomi.

Cabaran PH sekarang ialah bagaimana memberi keyakinan kepada orang Melayu dan membuatkan mereka rasa selamat di bawah kerajaan sekarang.

Dr Wong Chin Huat ketika mengulas mengenai topik perbincangan di Penang Institute, di Georgetown semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh 4 Januari, 2019.

Sementara itu, Wong menepis dakwaan bahawa Melayu rugi apabila Umno dan Barisan Nasional kalah pilihan raya.

Sebaliknya, orang Melayu akan untung daripada persaingan parti-parti politik, katanya.

“Tidak masuk akal apabila majoriti takutkan demokrasi… Orang Melayu percaya mereka mesti dilindungi kerajaan yang kuat, jika tidak Islam dan Bahasa Melayu akan tergugat.

“Tetapi bahasa tumbuh daripada daya saing dan kekuatannya sendiri, bukan naungan politik,” kata Wong.

Beliau juga mengingatkan betapa Bahasa Melayu mesti jadi bahasa kebangsaan dan tidak dilihat sebagai bahasa orang Melayu dan Islam.

Wong memberi contoh bagaimana Bahasa Indonesia digunakan di gereja dan tiada siapa rasa terancam, tetapi hal yang sama tidak mungkin boleh berlaku di Malaysia.

Wong juga berkata Islam harus jadi sejagat.

“Kafir macam saya tidak wibawa untuk bercakap tentang Islam tetapi kalau saya tahu tentang Islam dan rahmat untuk semua, bagaimana Muslim tidak faham? Siapa yang patut malu?

“Ironinya, kalau kita lihat sejarah Islam, agama itu datang untuk keluarkan orang dari kejahilan termasuk assabiyah (taksub pada puak).

“Tetapi sekarang Islam jadi petanda kaum,” katanya.

Forum malam tadi dipengerusikan penyelidik Penang Institute, Mohd Izzuddin Ramli. – 5 Januari, 2019.

Iklan
Iklan