Washington penting bagi Putrajaya bukan kerana Trump
Iklan
ADA ganjaran besar menunggu lawatan perdana menteri Malaysia yang kontroversi ke White House bulan depan. Tetapi ada sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menghangatkan semula hubungan antara Amerika Syarikat dan Malaysia yang terjejas dengan kecelaruan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Adalah bekas ketua tentera Zulkefli Mohd Zin yang kini jadi hulubalang penting Najib.
Di sebalik cakap-cakap tentang rekod cemerlang Malaysia memerang keganasan dan kesediaan berkongsi maklumat sulit tentang Korea Utara, ada tugas lebih mustahak: memahamkan Amerika Syarikat bahawa mengekalkan Najib berkuasa adalah sejajar dengan kepentingannya.
Zulkefli bertemu dengan penasihat keselamatan negara Presiden Donald Trump, Herbert MacMaster dan beberapa pegawai kanan lain dalam lawatannya yang mengukuhkan hubungan Putrajaya dan Washington berhubung isu kepentingan bersama selepas jadi sekutu sejak 60 tahun lalu.
Malaysia negara kunci kepada strategi Amerika memerangi ISIS dan ancaman keganasan yang lain. Washington juga melihat KL sebagai sumber penting risikan ke atas Korea Utara.
Itu sebabnya kenapa Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Zulkefli Mohd Zin dilayan meriah oleh Amerika dengan pertemuan yang diatur sejak beberapa hari lalu bersama Majlis Keselamatan Negara (NSC), Agensi Risikan Pusat (CIA) dan sederet pegawai kanan negara itu.
The Malaysian Insight difahamkan Zulkefli dengan jelas memberitahu Amerika ia boleh bersandar harap pada bantuan kerajaan Najib untuk melawan keganasan dan Korea Utara. Hubungan Putrajaya dan Pyongyang terjejas selepas pembunuhan Kim Jong-Nam di KLIA2 pada Februari lalu.
Komitmen ini akan diperkukuhkan lagi apabila Najib berkunjung ke White House bulan depan.
Najib dan konco-konconya tidak percaya kes Jabatan Keadilan (DoJ) akan tiba-tiba ghaib hanya kerana Malaysia kini jadi sekutu penting Amerika. Tetapi mereka merasakan hubungan baik dengan Amerika itu boleh membuka jalan kepada penyelesaian kes 1MDB DoJ, yang akan menguntungkan kedua-dua belah pihak, dalam masa beberapa bulan akan datang.
Lawatan Zulkefli ke Washington dan siri pertemuannya merangsang lagi pemikiran seperti ini dalam kalangan pegawai kanan Malaysia. Sudah tentu akan ada harga yang harus dibayar kerana roda keadilan di Amerika kalau sudah berputar tidak mungkin akan dapat dihentikan namun kepentingan berkekalan lebih penting daripada segala-galanya.
Bagi Malaysia, hubungan dengan Amerika lebih utama daripada hanya sekadar lawatan ke White House. Ia menggambar bukan saja kedudukan Najib, yang tidak dapat membersihkan lumpur 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terpalit padanya sejak berita penyelewengan dan salah guna kuasa dalam syarikat milik negara itu terbongkar, tetapi juga kepentingan Malaysia kepada dua kuasa besar, Amerika dan China.
Setakat ini sudah jelas tergambar betapa dekatnya China dengan Najib dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Selain projek infrastruktur, Beijing juga sudah menyatakan kesediaan menawarkan kepada Malaysia kelengkapan ketenteraan dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai tapak syarikat-syarikat utamanya.
China melihat Malaysia sebagai sekutu penting dalam permainan kuasa serantau di Laut China Selatan, medan ia meluaskan pengaruhnya sejak beberapa tahun lalu.
Tetapi keganasan antarabangsa menjadikan Malaysia berharga, baik pada Washington mahupun Beijing. Keakrabannya dengan pentadbiran Trump tidak akan menjarakkan China kerana Beijing juga ada kebimbangan yang sama terhadap ancaman keganasan di rantau ini.
Dan besar kemungkinannya, Beijing sentiasa diberi maklum oleh Putrajaya tentang hubungan baiknya dengan Washington. Apatah lagi, kedua-duanya sama penting pada Putrajaya untuk jangka masa panjang. – 26 Ogos, 2017.