Iklan

Terserempak Hishammuddin di Maghribi, kata Azmin

Bernard Saw6 years ago6th Jan 2019Berita
Azmin_Hisham_Maghribi_Twitter
Gambar bersama keluarga Azmin Ali dan Hishammuddin Hussien dimuat naik ke Twitter oleh anak Azmin, Ameer Azmin sebelum dipadam tidak lama kemudian. – Gambar Twitter, 6 Januari, 2019.
Iklan

AZMIN Ali menjelaskan beliau hanya kebetulan bertemu dengan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang turut sama bercuti hujung tahun di Maghribi.

Timbalan presiden PKR itu juga menangkis spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama politik yang diusahakan kedua-dua pemimpin kanan parti itu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan spekulasi yang timbul susulan penularan gambar menunjukan beliau dan Hishammuddin serta keluarga masing-masing bercuti di negara itu.

“Saya tidak bercuti dengan Datuk Seri Hisham. Terserempak dengan beliau di Morroco. Saya bertemu ramai rakyat Malaysia di Malaysia, tak jadi isu pun,” katanya kepada pemberita.

Menteri hal ehwal ekonomi yang tinggal berjiran dengan Hishammuddin di kawasan elit Taman Tun Abdul Razak di Ampang juga berkata hubungan baik mereka berdua terjalin sejak lama.

“Hubungan saya dengan Datuk Seri Hisham telah bermula puluhan tahun dulu, ia bukan baharu,” kata Azmin.

Gambar menunjukkan pertemuan kedua-dua keluarga itu tular pada 30 Disember selepas disiarkan anak lelaki sulung Azmin, Ameer Azmin di Twitter.

Gambar tersebut dirakamkan di sebuah hotel di Marrakesh dengan catatan berbunyi “Keluarga kami bersatu kembali”. Beliau turut menyebut nama bapanya dan Hishammuddin.

Kedua-dua keluarga itu dilihat tersenyum gembira, dengan Hishammuddin dan Azmin masing-masing kelihatan mengenggam erat tangan masing-masing.

Gambar itu muncul sewaktu pelbagai teori konspirasi timbul susulan kenyataan Azmin mengecam presidennya Anwar Ibrahim berkaitan pelantikan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Hubungan antara Azmin dan Anwar juga dikatakan bergolak apabila Anwar kelihatan lebih menyokong Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail dengan melantik mereka ke dalam MPP.

Azmin berhujah, ada pemimpin yang menyebabkan perpecahan dalam parti ketika pemilihan baru-baru ini dan ditolak ahli parti, diberikan ruang untuk memimpin PKR.

Dipercayai kritikan keras itu ditujukan kepada Rafizi yang dilantik Anwar sebagai naib presiden walaupun tewas kepada Azmin dalam perlawanan merebut jawatan timbalan presiden dan Saifuddin yang dilantik semula sebagai setiausaha agung PKR.

Anak lelaki Azmin, Ameer turut masuk campur dalam isu tersebut apabila mempersoalkan Anwar mengenai tindakan melantik Rafizi yang kalah. – 6 Januari, 2019.

Iklan
Iklan